Monday, May 25, 2009

JAMBATAN WP LABUAN - MENUMBOK : HARAPAN YANG SIRNA UNTUK SEKIAN LAMA


Jambatan Pulau Pinang & Cadangan Jambatan Bengkok Tambak Johor


Pelik tapi benar. Itulah hakikatnya apabila membincangkan mengenai isu pembinaan jambatan yang menghubungkan WP Labuan dengan tanah besar sabah. Yang dikatakan pelik ialah samada kebetulan atau tidak, kedua-dua Perdana Menteri sebelum ini, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi membincangkan isu ini apabila dipenghujung karier mereka sebagai orang nombor 1 di Malaysia. Kalau ada yang masih ingat, Tun Dr Mahathir mengarahkan kajian pembinaan jambatan ini 2 minggu sebelum beliau bersara, dan begitu juga dengan Tun Abdullah.

Saya masih ingat apabila Tun Dr Mahathir menyatakan kepentingan jambatan ini dalam menghidupkan kembali ekonomi Labuan yang lembab disamping untuk menarik kembali pelancong luar untuk datang ke Labuan. Pada masa itu harapan yang dibayangkan untuk menjadikan jambatan tersebut realiti cukup cerah memandangkan kepercayaan dan keyakinan kepada kewibawaan Tun Dr Mahathir pada masa itu. Namun apabila Tun Abdullah mengambil alih, perkara tersebut terus tenggelam tanpa berita. Yang menariknya mengenai Tun Abdullah ialah sebelum bersara, Tun Abdullah telah mengarahkan Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk melakukan kajian kewajaran pembinaan jambatan ini. Dalam pada masa ini, penduduk serta masyarakat WP Labuan dan tanah besar sabah terutama di Menumbok dan Kuala Penyu pasti akan menantikan hasil kajian itu akan dapat diperoleh secepat mungkin.

Menyorot sejarah, kawasan Daerah Kecil Menumbok, iaitu kawasan tanah besar Sabah dahulunya adalah sebahagian daripada Daerah Labuan sebelum Labuan diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada awal 1980an. Ini dapat dibuktikan pada alamat yang digunakan penduduk Menumbok suatu ketika dahulu yang menggunakan poskod dan pengakhiran bandar yang di tulis Labuan. Sejak Labuan 'dipisahkan' dari Sabah, Labuan telah bergerak maju ke hadapan dan membangun dibawah pentadbiran kerajaan persekutuan sehingga sekarang.

Kepentingan jambatan itu kelak akan membuka peluang ekonomi yang seluasnya kepada penduduk Labuan dan Menumbok. Pasti tempias pembangunan jambatan itu akan terpercik kepada penduduk Menumbok yang selama ini dahagakan pembangunan. Kemungkinan Menumbok menjadi Bandar Satelit kepada Labuan cukup cerah kerana kesesakan dijangka akan berlaku berikutan pertambahan kenderaan, pelancong dan penggiat ekonomi di Labuan. Ibarah K.Lumpur-Petaling Jaya serta Kota Kinabalu-Likas, begitulah jangkaannya Labuan-Menumbok. Kawasan perumahan juga dijangka akan mendadak perkembangannya dan ini akan meningkatkan nilai tanah. Keperluan yang semakin bertambah terhadap kediaman pasti mengutungkan masyarakat Menumbok dan Kuala Penyu.

Yang pasti, perkhidmatan Feri dan bot tambang yang selama ini menjadi tunjang penghubung laluan WP Labuan-Menumbok pasti akan berakhir. Maka dengan itu tidak hairan golongan pengusaha bot tidak 'berkenan' dengan cadangan pembinaan jambatan ini. Secara peribadi, mereka tidak perlu risau kerana mereka boleh mengubah corak perniagaan mereka dengan menjadi agen bot membawa barangan ataupun 'River Cruise' untuk pelancong asing. Bekerjasamalah dengan Kementerian Pelancongan, pasti periuk nasi mereka tidak akan terjejas dengan teruk.

Zaman pentadbiran YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ni, masyarakat Labuan dan Menumbok serta Sabah keseluruhannya mengharapkan pembinaan jambatan ini akan menjadi kenyataan. Konsep rakyat didahulukan amat diharapkan. Kerajaan tidak akan rugi dengan pembinaan jambatan ini kerana kerajaan akan mendapat manfaat yang tidak sedikit hasil daripadanya kelak. Wassalam.

1 comment:

Adisaputra said...

bagi saya pembinaan jambatan ini memangpentig untuk pembangunan di menubok dan juga labuan...ini kerana jambatan ini akan membawa byk kemudahan kepada penduduk di kedua2 kawasan ini di samping menggalkkan lagi industri pelancungan di labuan...apa pun kajian yang mneyeluruh perlu dilakukan dengan teliti bagi mengelakkan sebarang masalah dari timbul kemudian hari sebab apa saja yang kita lakukan ada pro dan kontranya...