Wednesday, June 3, 2009

SABAH : NEGERI TERMISKIN DI MALAYSIA?




Sabah, negeri kedua terbesar di Malaysia dan merupakan negeri yang kaya dengan pelbagai sumber alam. Sabah juga merupakan satu-satunya negeri yang pernah ditadbir oleh 4 parti yang membentuk kerajaan dan Sabah juga pemegang rekod mempunyai ketua kerajaan (Ketua Menteri) yang paling ramai. Sebenarnya banyak yang menarik untuk diperkatakan mengenai negeri Sabah. Apapun, sebagai negeri yang membentuk sebahagian Persekutuan Malaysia, Sabah tidak pernah sunyi daripada pelbagai peristiwa dan kontroversi yang mendatangkan impak yang besar kepada negara kita.

Mengikut statistik yang dikeluarkan pada 30 Oktober 2007 di Parlimen Malaysia, jelas menyatakan Sabah adalah negeri termiskin di Malaysia dengan jumlah miskin tegar ialah 32,000 keluarga. Mungkin bagi sebahagian besar rakyat Sabah ini adalah sesuatu yang amat memalukan apatah lagi sekarang Sabah telah dianggap 'istimewa' oleh kerajaan persekutuan. Namun terima atau tidak, itulah hakikatnya. Keluarga miskin tegar di Sabah masih ramai malah menyumbang 30% daripada jumlah keseluruhan miskin tegar di Malaysia. Untuk itu, tidak hairanlah YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak melantik YB Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menerajui Kementerian Pembangunan Luar Bandar & Wilayah untuk menjamin kelangsungan program yang berkesan untuk menurunkan statistik yang ada.

Terbaru, Sabah sudah mempunyai sumber kekayaan baru iaitu minyak di Teluk Kimanis, Sabah. Rakyat Sabah mengharapkan dengan adanya sumber ini, Sabah akan membangun lebih pesat dan pantas mengecapi kemajuan. Apa yang menarik ialah royalti minyak yang diterima Sabah adalah rendah iaitu 5% berbanding Sarawak 15% dan Tan Sri Bernard Dompok pernah menegur kerajaan negeri Sabah agar dapat memohon kenaikan royalti minyak untuk kepentingan rakyat Sabah. Namun sehingga kini masih belum ada perkembangan positif mengenainya.

Isu kemiskinan adalah isu lama yang melanda kehidupan rakyat Sabah. Bagi yang menganalisis perkara ini, pembangunan yang diharapkan sebenarnya hanya berlaku di bandar-bandar besar seperti Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau. Tapi kampung tetap menjadi kampung dan pekan kecil terus di cop sebagai pekan koboi. Tiada apa yang mampu dibanggakan. Rakyat terus miskin bukan kerana malas berusaha, tapi ruang dan peluang yang sepatutnya diberikan kepada mereka tidak sampai atas pelbagai sebab dan rintangan samada daripada pemimpin, birokrasi dan penyelewengan. Beberapa siaran berita TV3 beberapa bulan dulu yang menyiarkan kesusahan hidup masyarakat di Pitas, Kinabatangan dan Nabawan ternyata amat mengharukan. Ramai yang tidak menyangka walaupun Malaysia digelar negara membangun paling maju, tapi masih ada rakyatnya hidup bergelap tanpa letrik, bergantung hidup pada air hujan dan jalan perhubungan yang layak di gelar jalan balak sahaja. Di mana sensitiviti kerajaan terhadap hal ini? Pemimpin sering sahaja melaungkan isu pembangunan, ekonomi dan kemajuan, tapi itu hanya retorik bagai lampin pakai buang, tak berguna.

Kerajaan Sabah pernah mencadangkan Sabah akan menjadi negeri maju pada tahun 2015. Rakyat Sabah rata-rata tergelak besar mendengar perkhabaran itu. Bukan tidak yakin dengan kerajaan negeri mahupun pusat, tapi ianya adalah tidak logik sama sekali kerana untuk memajukan sebuah negeri yang besarnya separuh Semenanjung Malaysia dalam masa kurang 10 tahun adalah tidak masuk akal. Dengan kadar kemiskinan yang tinggi selain penyediaan kemudahan infrastruktur yang rendah, mustahil jangkaan dan matlamat itu akan tercapai. Namun begitu, harapan rakyat Sabah untuk melihat negeri ini maju tetap membara dan sentiasa memberi perhatian terhadap usaha-usaha memajukan negeri ini.

Semoga kerajaan Sabah dapat melipat gandakan usaha untuk memajukan rakyat dan kemudahan infrastruktur yang masih ditahap sederhana ini. Harus diingatkan rakyat sudah memberi isyarat 'LAMPU KUNING' kepada kerajaan agar menunaikan tanggungjawab dengan sebaiknya. Peluang dalam masa 3-4 tahun ini harus direbut sepenuhnya oleh kerajaan agar rakyat tidak berubah fikiran pada pilihanraya akan datang. Usah terlalu yakin kerana sikap terlalu yakin itulah menyebabkan Barisan Nasional (BN) kehilangan negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan pada pilihanraya umum lepas. Saya pasti BN tidak mahu jumlah negeri yang terlepas itu akan bertambah pada masa akan datang. Adiosss.....


3 comments:

Anonymous said...

mmg miskin,yg kaye org atas jer..dahlah tu kumpul harte tue..uhh

Anonymous said...

Blogger,
bukan sabah yg miskin, kelantan lah..aku rasa kelantan lg miskin..
touching siut..

Adisaputra said...

Dua negeri yang termiskin adalah dua nergeri yang kaya dengan sumber. Sabah kaya dengan sumber alam yang tidak ternilai manakala terengganu kaya dengan hasil minyak..sepatutnya negeri inilah yang kaya tetapi kenapa boleh jadi sebaliknya...dimana silapnya?

tetapi itu statistik yang di keluarkan pada 2007, sekarang 2009 diharap sudah ada peningkatan di sabah...