Friday, July 17, 2009

SEBUTAN PERKATAAN "BAH"


Sabah kaya dengan nilai tradisi & kebudayaan...


Adapun perkataan 'bah' dalam Bahasa Malaysia bermaksud air banjir atau air deras yang melimpah. Tetapi sebutan 'bah' bagi penduduk di negeri Sabah mempunyai erti yang istimewa, unik dan mendalam.

Sebutan 'bah' yang diluahkan dari mulut setiap individu penduduk Sabah mempunyai makna yang tersendiri disamping maksud asalnya air bah. Setiap perbuatan dalam berkomunikasi, sebutan 'bah' tidak ditinggalkan. Sebutan ini membawa erti pengakuan, baik, ya! atau OK. Ia biasanya digunakan ketika berinteraksi apabila pertemuan dengan seseorang dalam perbualan. Sebutan 'bah' menunjukkan kemesraan dan lambang keperibadian serta sopan santun yang diamalkan oleh majoriti penduduk negeri Sabah. Selain perjumpaan atau pertemuan dengan seseorang kemesraan dengan sendirinya telah wujud sebaik sahaja sebutan 'bah' diluahkan tanpa mengira pertemuan itu dengan sesiapa sahaja samada saudara mara,kawan, rakan, jiran, lelaki atau perempuan daripada apa jua suku bangsa dan keturunan serta agamanya. Inilah yang menjadikan masyarakat negeri Sabah, Negeri Di Bawah Bayu unik dan penuh warna dan tradisi 'bah' ini turut mempengaruhi sebahagian besar masyarakat di Negara Brunei Darussalam juga.

Dalam penggunaan sebutan ini juga dapat merapatkan perhubungan tali silaturrahim secara terus dan inilah manfaat yang terselit di dalam sebutan unik ini. Dalam masa yang sama, sebutan ini dilafaz disertai dengan senyuman, angguk kepala, mengangkat tangan dan membunyikan hon kereta sebagai tafsiran untuk menyapa dan diikuti dengan perkataan 'bah' yang disebut sama ada dalam hati ataupun diluahkan secara nyata. Bagi yang beragama Islam, pertemuan pasti dimulakan dengan memberi salam dan diikuti dengan perkataan 'bah' sebagai sapaan mesra di awal pertemuan manakala bagi yang bukan beragama Islam, sebutan 'bah' menggambarkan sebagai sapaan dan bagi yang disapa itu sebenarnya sudah cukup untuk merasakan dirinya dihormati, dimuliakan dan dihargai. Begitulah unik dan hebatnya sebutan 'bah' di Sabah ini. Menurut cakap-cakap dan diskusi, ada pihak yang menyatakan 'bah' ini adalah perkataan satu kemestian dan sesiapa saja yang berkunjung ke Sabah hatta termasuk pendatang asing sama ada yang dengan izin mahupun tanpa izin secara mudah menggunakan sebutan 'bah' ini.

Harus diingatkan, perkataan bah juga boleh diibaratkan sesuatu pengakuan dan jaminan kepada seseorang atau kumpulan dalam sesuatu situasi. Biasanya jika seseorang itu mempelawa, memohon atau berjanji, maka perkataan 'bah' akan dilafazkan sebagai jaminan. Sebagai contoh, jika seseorang berkata " esok awak datanglah ke rumah saya jam 3 petang', maka yang dipelawa akan berkata 'bah' sebagai menyambut atau jaminan atas pelawaan itu bahawa yang dipelawa akan datang.

Penduduk negeri Sabah mengharapkan kepada semua pakar-pakar sejarah, bahasa dan sastera atau sesiapa sahaja yang berminat agar dapat membuat kajian dan penyelidikan apa, bagaimana dan kenapa perkataan 'bah' ini begitu meluas digunakan di negeri Sabah ini supaya ia benar-benar mempunyai kedudukan yang terulung, cemerlang, gemilang dan terbilang seterusnya menjadi perkataan keramat yang berdaulat. Sekian....


Nukilan ;

Abd Hassan Mohamad,
Daerah Kecil Menumbok.

No comments: