Friday, July 17, 2009

SEBUTAN PERKATAAN "BAH"


Sabah kaya dengan nilai tradisi & kebudayaan...


Adapun perkataan 'bah' dalam Bahasa Malaysia bermaksud air banjir atau air deras yang melimpah. Tetapi sebutan 'bah' bagi penduduk di negeri Sabah mempunyai erti yang istimewa, unik dan mendalam.

Sebutan 'bah' yang diluahkan dari mulut setiap individu penduduk Sabah mempunyai makna yang tersendiri disamping maksud asalnya air bah. Setiap perbuatan dalam berkomunikasi, sebutan 'bah' tidak ditinggalkan. Sebutan ini membawa erti pengakuan, baik, ya! atau OK. Ia biasanya digunakan ketika berinteraksi apabila pertemuan dengan seseorang dalam perbualan. Sebutan 'bah' menunjukkan kemesraan dan lambang keperibadian serta sopan santun yang diamalkan oleh majoriti penduduk negeri Sabah. Selain perjumpaan atau pertemuan dengan seseorang kemesraan dengan sendirinya telah wujud sebaik sahaja sebutan 'bah' diluahkan tanpa mengira pertemuan itu dengan sesiapa sahaja samada saudara mara,kawan, rakan, jiran, lelaki atau perempuan daripada apa jua suku bangsa dan keturunan serta agamanya. Inilah yang menjadikan masyarakat negeri Sabah, Negeri Di Bawah Bayu unik dan penuh warna dan tradisi 'bah' ini turut mempengaruhi sebahagian besar masyarakat di Negara Brunei Darussalam juga.

Dalam penggunaan sebutan ini juga dapat merapatkan perhubungan tali silaturrahim secara terus dan inilah manfaat yang terselit di dalam sebutan unik ini. Dalam masa yang sama, sebutan ini dilafaz disertai dengan senyuman, angguk kepala, mengangkat tangan dan membunyikan hon kereta sebagai tafsiran untuk menyapa dan diikuti dengan perkataan 'bah' yang disebut sama ada dalam hati ataupun diluahkan secara nyata. Bagi yang beragama Islam, pertemuan pasti dimulakan dengan memberi salam dan diikuti dengan perkataan 'bah' sebagai sapaan mesra di awal pertemuan manakala bagi yang bukan beragama Islam, sebutan 'bah' menggambarkan sebagai sapaan dan bagi yang disapa itu sebenarnya sudah cukup untuk merasakan dirinya dihormati, dimuliakan dan dihargai. Begitulah unik dan hebatnya sebutan 'bah' di Sabah ini. Menurut cakap-cakap dan diskusi, ada pihak yang menyatakan 'bah' ini adalah perkataan satu kemestian dan sesiapa saja yang berkunjung ke Sabah hatta termasuk pendatang asing sama ada yang dengan izin mahupun tanpa izin secara mudah menggunakan sebutan 'bah' ini.

Harus diingatkan, perkataan bah juga boleh diibaratkan sesuatu pengakuan dan jaminan kepada seseorang atau kumpulan dalam sesuatu situasi. Biasanya jika seseorang itu mempelawa, memohon atau berjanji, maka perkataan 'bah' akan dilafazkan sebagai jaminan. Sebagai contoh, jika seseorang berkata " esok awak datanglah ke rumah saya jam 3 petang', maka yang dipelawa akan berkata 'bah' sebagai menyambut atau jaminan atas pelawaan itu bahawa yang dipelawa akan datang.

Penduduk negeri Sabah mengharapkan kepada semua pakar-pakar sejarah, bahasa dan sastera atau sesiapa sahaja yang berminat agar dapat membuat kajian dan penyelidikan apa, bagaimana dan kenapa perkataan 'bah' ini begitu meluas digunakan di negeri Sabah ini supaya ia benar-benar mempunyai kedudukan yang terulung, cemerlang, gemilang dan terbilang seterusnya menjadi perkataan keramat yang berdaulat. Sekian....


Nukilan ;

Abd Hassan Mohamad,
Daerah Kecil Menumbok.

Sunday, June 28, 2009

ALAHAI BINTANG RTM....


Bintang RTM perlu penjenamaan semula....


Malam kelmarin berlangsung beberapa rancangan hiburan realiti TV. Fenomena ini bukanlah sesuatu yang menghairankan malah sudah menjadi satu kemestian setiap stesen TV mempunyai trade mark program realitinya sendiri seperti RTM (Bintang RTM), TV3 (Mentor & Gengstarz), TV8 (One In A Million), Astro (Akademi Fantasia, Raja Lawak & Anak Wayang). Kenapa stesen TV berlumba-lumba menerbitkan program realiti ini?itu jawapan yang hanya boleh dijawab oleh stesen tv berkenaan sahaja. Apapun, saya bukannya mahu mempertikaikan tentang apa-apa yang berkaitan, tetapi ingin menyentuh sendikit mengenai satu program realiti hiburan tertua di negara kita, tidak lain tidak bukan Bintang RTM.

Kenapa Bintang RTM? Bintang RTM merupakan satu program yang sudah lama diwujudkan dan melahirkan ramai bintang yang berkaliber dan berbakat besar malah ada antara mereka menjadi permata bersinar hingga kini seperti Jamal Abdillah, Ramlah Ram, Datuk Siti Nurhaliza, Misha Omar, Azharina dan ramai lagi. Namun kini, suasana dan realitinya amat berbeza, juara Bintang RTM yang terakhir yang masih bernyawa hingga kini ialah Azharina Azhar. Manakala juara selepas Azharina ibarat hidup segan mati tak mahu. Langsung tidak dapat berkembang maju, mujur ada Izwan Pilus, walaupun tidak bergelar juara, Izwan berhempas pulas untuk 'survive' dalam industri hiburan dan akhirnya berjaya. Kenapa hal ini boleh terjadi? Adakah dengan kemunculan Akademi Fantasia (AF), Malaysian Idol, One In A Million (OIAM) dan lain-lain telah menyumbat lubang kegemilangan Bintang RTM selama ini?

Menyalahkan program realiti lain adalah bukan alasan yang kukuh, malah itu adalah alasan bagi pihak yang kalah. Sebenarnya konsep Bintang RTM itu sendiri yang sebenarnya menyebabkan orang ramai sudah tidak berkenan lagi dengan program tersebut. Contoh paling mudah ialah mutu persembahan. Malam Ahad lepas, apabila Final Bintang RTM dan Semi Final Mentor berlangsung serentak, saya dapati kualiti persembahan, audio dan 'kemeriahan' pertandingan ternyata memihak kepada Mentor. Walaupun Mentor hanya bertaraf separuh akhir, tapi saya berpendapat mutu dan kualiti jauh lebih baik daripada Final Bintang RTM tersebut.

Satu lagi yang menjadi perbandingan ialah populariti peserta yang menyertainya. Saya membuat kajian rambang mengenai hal ini dan hasilnya memang mengejutkan. Daripada 20 orang respondan, hanya 1 sahaja yang tahu nama-nama peserta Bintang RTM, itu pun sempat berkata 'mak aku jer yang layan, aku tumpang tengok jer sekejap'...tapi bila ditanya mengenai peserta Mentor, hampir semua respondan mengetahui termasuklah program-program lain seperti AF dan OIAM. Di sana memang sudah jelas membuktikan RTM perlu memperkasakan lagi Bintang RTM, jika tidak pasti program itu hanya program syok sendiri dan berkubur dalam sejarah sahaja.

Dicadangkan nama bintang RTM ditukar ke nama lain yang lebih sesuai dan segar. Nama RTM sebenarnya telah mendatangkan persepsi yang kurang mesra kepada orang ramai. TV3 dan Astro tidak menyelitkan nama stesen mereka kerana meraka mahu melahirkan penghibur yang boleh diterima di semua peringkat. Sudah tiba masanya rebranding dilakukan pihak RTM untuk mengukuhkan semula program tersebut. Selain itu, RTM seharusnya mewujudkan satu anak syarikat atau paling tidakpun melantik satu konsultan untuk menguruskan peserta Bintang RTM pasca pertandingan supaya juara dan semua finalisnya dapat bertapak dalam industri hiburan tempatan.

Begitu juga dengan promosi, sepatutnya RTM agresif dalam mempromosikan peserta-peserta, bukan program tersebut kerana masyarakat sudah maklum mengenai Bintang RTM. Penonjolan promosi mengenai peserta adalah penting untuk menarik perhatian ramai. Format pertandingan juga harus dikekalkan dengan cara lama iaitu bermula dengan peringkat awal, suku akhir, separuh akhir dan akhir dan keputusan 100% ditangan juri. Tidak perlulah terikut-ikut dengan program lain kerana mereka ada kekuatan yang banyak berbanding Bintang RTM.

Adalah diharapkan RTM dapat terus bergerak maju, sebenarnya Bintang RTM tidaklah seteruk mana tapi cara dan gaya menguruskannya yang menyebabkan orang ramai tidak mahu mengambil tahu tentang Bintang RTM....Adios....

Tuesday, June 23, 2009

JADILAH YB DISAYANGI, BUKAN JADI YB SYOK SENDIRI!!


Jadilah YB terbaik untuk rakyat....


Beberapa hari yang lepas, saya mendapat SMS daripada sahabat baik saya di desa halaman. Sahabat saya berkata YB kawasan saya sedang merasmikan program kemasyarakatan anjuran sebuah jabatan kerajaan persekutuan di sana. Untuk pengetahuan semua, YB ini adalah pangkat Timbalan Menteri dan bolehlah dikatakan sebagai YB 'veteran' kerana pernah menjadi YB ADUN dalam tempoh yang lama dan baru saja 'naik pangkat' mewakili kawasan Parlimen.

Apa yang menarik, YB saya ini berucap berkobar-kobar dan penuh semangat. Mungkin menarik bunyinya sebab para pemimpin ni selalunya hanya berkobar-kobar bila kempen pilihanraya. Tapi bila disingkap isi kandungan ucapannya, YB ini berkobar-kobar mengenai sejarah hidupnya, keluarganya dan 'kejayaannya membangunkan kawasan' yang tak berapa membangun ni. Emmm ingatkan lah ada pengumuman besar, misalnya mengumumkan pembinaan institut pengajian tinggi atau pusat perniagaan bersepadu atau projek mega serta infrastruktur yang lain, tapi malangnya tiada.

Bukan bertujuan untuk menjatuhkan maruah mana-mana pihak, tapi dalam pepatah melayu ada menyatakan 'siapa makan cili, dia terasa pedasnya'. Pada pendapat saya, kalau sekadar menjadi YB untuk menunjukkan diri tu berjaya, bagus tak payah jadi YB. YB harus ingat, YB sendiri kah yang menjadikan YB sekarang menjadi YB? Bagaimana pula pengundi YB? mereka tak menyumbang apa-apa kah? YB jangan terlalu mengagungkan kepimpinan YB kerana tidak semua orang suka YB berlandaskan prinsip 'YB tidak akan dapat memuaskan hati semua pihak', hakikat yang diakui sendiri oleh YAB Perdana Menteri yang kita sayang, Datuk Seri Mohd Najid Tun Abd Razak.

Mungkin YB ini belum tahu, sebenarnya para pengundi YB bukannya mahu mendengar sangat sejarah hidup YB, tapi mereka mahu setiap kali YB berucap, YB akan mengumumkan itu ini sekurang-kurangnya satu projek infrastruktur untuk kemudahan rakyat yang YB wakili. Mereka bukannya mahu YB bagi mereka duit, jangan risau YB, duit gaji YB takkan tergugat punya. Cuma pengundi YB ini amat berharap sangat agar masalah pengundi YB dapat diatasi, ada jalan penyelesaian, barulah pengundi YB sayang dengan YB. Satu lagi YB kena ingat, pengundi baru dah ramai YB, pengundi baru ni semuanya orang muda YB dan kebanyakkan pengundi baru ni rata-rata menganggap YB 'old school'. YB tahu apa makna YB 'old school'?, maksudnya mereka tak berharap langsung dengan YB untuk mewakili mereka...Masalah tu YB, YB tak tengok macamana kempen parti pembangkang, dah lah pemimpin mereka muda-muda, pasti memperjuangkan aspirasi orang muda pula, sebab tu orang muda suka pemimpin pembangkang YB, pemimpin pembangkang tak payah pun cerita background dorang YB kerana pengundi tak mahu dengar tu semua, yang penting apa misi, visi dan intipati perjuangan YB. Itu yang penting YB.

Kepada YB saya ni, YB tahu tak ramai rakyat di kawasan YB ni mengeluh, kenapa begitu slow sekali pembangunan di sini, lihat Kudat 10 tahun dulu dengan sekarang, pesat membangun dan menjadi bandar terancang yang kaya dengan produk pelancongan bertaraf 5 bintang. YB tengok Sipitang, kawasan laluan pelancong yang semakin mengorak langkah menjadi kawasan berpotensi tinggi. YB mungkin dulu YB dah biasa dengan keadaan situasi selesa, situasi 'Confirm Menang' dalam pilihanraya dan rasa diri YB disayangi semua pengundi. Tapi zaman dah berubah YB, hati-hati YB kerana ramai YB seperti YB yang dah pencen terpaksa seperti di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Ingatan kepada semua YB tak kira disebelah kerajaan atau pembangkang, jangan terlalu selesa. Dan kalau dah rasa YB dah semakin 'tak disukai', harap YB berundur secara terhormatlah sebelum kalah teruk dalam pilihanraya umum nanti. YB kami mahu pembangunan dan kemajuan, bukan cakap-cakap kosong yang tinggi ke awan. Kami mahu YB kelas tinggi, bukan YB syok sendiri... Adiosss....

Wednesday, June 10, 2009

MENJADIKAN KUALA PENYU SEBAGAI SYURGA PERANGINAN


Kuala Penyu kaya dengan sumber alam dan keindahan semulajadi


Daerah Kuala Penyu adalah sebuah daerah yang terletak di barat daya negeri Sabah. Termasuk di dalam kawasan Parlimen P.177 Beaufort, Kuala Penyu sebenarnya adalah sebuah daerah yang tidak banyak untuk diperkatakan. Bagi pengunjung luar yang kali pertama datang ke Pekan Kuala Penyu, istilah 'pekan koboi', 'pekan mati' dan 'pekan sunyi' begitu sinonim. Bahkan bukan pengunjung luar sahaja yang menggelarnya hatta penduduk tempatan pun menggelarkan pekan ini sedemikian.

Memang diakui, berbanding 10-15 tahun dahulu, Kuala Penyu sudah ada perubahan. Lot-lot kedai baru, bangunan perniagaan baru, Hospital Kuala Penyu dan Balai BOMBA yang tersergam ini menjadi mercu tanda baru di daerah ini. Begitu juga daerah kecil Menumbok yang terletak dibawah pentadbiran daerah Kuala Penyu, sedikit sebanyak berganjak menelusuri kemajuan walaupun tidaklah serancak mana. Bercakap mengenai produk pelancongan di sini, hanya Pulau Tiga dan keindahan Pantai Sawangan sahaja yang menjadi sandaran. Selainnya hanya biasa-biasa sahaja iaitu perkampungan biasa yang dapat dilihat di mana-mana.

Suasana alam semulajadi yang menyelimuti daerah ini sebenarnya adalah modal terbesar dalam menjadikan Kuala Penyu sebagai syurga pelancongan. Tidak tahu apakah yang difikirkan oleh para wakil rakyat yang mewakili masyarakat di sini sehingga untuk melihat satu pembangunan pun begitu perlahan walaupun sebenarnya amat mudah memajukan daerah ini sebagai produk baru pelancongan di negeri Sabah dan Malaysia secara umumnya. Bagaimana caranya? Di dalam atrikel ini saya mencadangkan beberapa 'projek pelancongan dan pembangunan' yang harus difikirkan oleh semua pemimpin masyarakat di Kuala Penyu.

Pertama sekali, di hujung tanah atau lebih tepat lagi pantai Mempakul di dalam kawasan daerah kecil Menumbok adalah satu tempat yang cantik. Selain pemandangan yang menghadap WP Labuan, Sipitang dan negara Brunei Darussalam, tanah ini juga adalah tanah negeri Sabah yang paling barat mengikut peta dan geografi Sabah. Kenapa kawasan ini tidak dimajukan sebagai ANJUNG SENJA yakni kawasan rekreasi sebagai pusat riadah, pusat kesihatan dan laman hijau yang pastinya amat diperlukan penduduk di kawasan ini dan pengunjung luar yang datang ke sini untuk ke WP Labuan. Majukan kawasan ini seumpama kawasan Simpang Mengayau di Kudat dan Pantai Tanjung Aru di Kota Kinabalu. Penggabungan dua elemen ini pastinya akan menjadikan tempat ini sebagai pusat perkelahan dan riadah yang popular di kawasan pedalaman bawah.

Kedua, kepada siapa-siapa yang pernah memasuki Stesen Pertanian Menumbok yang terletak di Tanjung Aru, Menumbok pasti dalam memikirkan satu idea yang boleh diketengahkan. Dicadangkan binalah satu pusat eko resort, iaitu pusat latihan dan 'team building' berdasarkan kawasan yang sesuai untuk membina banyak kemudahan latihan. Konsep eko resort yang mempunyai 'jungle trecking', Flying Fox, Monkey Bridge, dewan kuliah dan sebagainya sudah cukup untuk digunakan sebagai pusat pembangunan jati diri belia dan kemasyarakatan. Kaji dan selidiki lah kawasan tersebut.

Daerah ini yang dikelilingi dengan pantai sepanjang pesisir daerah cukup mantap dan sesuai untuk didirikan chalet atau resort yang bercirikan alam semulajadi. Memang benar sudah terdapat beberapa chalet tapi malangnya dengan keadaan jalan raya yang teruk serta jauh ke dalam, pasti menyukarkan pelancong untuk datang. Pilihlah mana-mana kawasan pantai yang senang untuk dikunjungi dan binalah chalet yang disertakan dengan program homestay yang boleh digerakkan oleh mana-mana kampung yang berminat untuk merintis program pelancongan ini. Lebih menarik binalah pusat peranginan bercirikan golf resort. Daerah Kuala Penyu pasti tidak akan sunyi dengan pelancong dari dalam mahupun luar negara. Terletak dikawasan yang tidak jauh dari kawasan laluan utama Kota Kinabalu - Sarawak - Brunei Darussalam dan WP Labuan, tiada sebab Kuala Penyu terlepas daripada senarai destinasi kaki golf seluruh dunia.

Rivercruise yang merentasi sungai-sungai yang ada disekitar pekan Kuala Penyu dan Menumbok perlu difikirkan kewujudannya. Sekarang ramai yang sudah tidak berkesempatan untuk menikmati alam semulajadi merentasi sungai dan hutan paya bakau yang kaya dengan sumber alamnya. Ditambah dengan kehadiran spesis yang istimewa seperti monyet belanda atau 'proboscis monkey' dan kelip-kelip, dirangkaikan dengan program homestay mahupun resort, selain menyediakan kemudahan kayak dan jet ski pasti sesuatu yang menarik.

Sayang jika daerah Kuala Penyu terus menerus menjadi seperti hari ini untuk tempoh 50 tahun mendatang. Pembangunan fizikal juga harus dipertingkatkan untuk mengelakkan status sebagai pekan koboi terus sebati bersama namanya. Jika dapat dibina satu pusat pendidikan seperti Institut Perguruan mahupun Kolej Komuniti atau Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), selain mewujudkan pusat pentadbiran kerajaan dalam satu kawasan yang terancang seperti Putrajaya, sekurang-kurangnya akan menaikkan kegiatan ekonomi dan industri lain yang berkaitan. Ini belum lagi termasuk jika harapan pembinaan jambatan antara WP Labuan - Menumbok menjadi kenyataan, pasti melimpah ruah kenikmatan pembangunan di kawasan ini.

Kepada pemimpin dan wakil rakyat di kawasan ini, jangan hanya pandai bercakap tanpa usaha. Jangan jadi tin kosong, bunyi sahaja bising tapi tiada isi. Fikir-fikrlah bagaimana untuk membantu anak bangsa di kawasan ini. Sampai bila penduduk di Kuala Penyu hanya menjadi penonton kepada pesatnya pembangunan kawasan di tempat lain sedangkan ditempat sendiri tiada apa pun yang menjadi kebanggaan. Adiioosss...

SINGKIRKAN PPSMI DAN WAJIBKAN LULUS B.INGGERIS DALAM SPM


PPSMI & Bahasa Inggeris : Isu yang sentiasa mendapat pertikaian.


Menteri Pelajaran Malaysia sudah bertukar tangan. Namun isu yang ditinggalkan oleh Menteri lamanya, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein kepada pengganti Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Perdana Menteri tidak pernah sunyi. Isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) cukup menggegarkan masyarakat Malaysia. Cadangan ini ditentang oleh majoriti pejuang bahasa kebangsaan dan komuniti sastera serta pemimpin-pemimpin politik tertentu selain daripada badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Secara peribadi, saya juga tidak berapa 'berkenan' dengan PPSMI ini. Cuma apabila Tan Sri Muhyiddin meminta pendapat masyarakat Malaysia berkenaan cadangan mewajibkan lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sesuatu yang menarik untuk diulas. Bagi saya mudah saja, hapuskan PPSMI dan kembalikan mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Malaysia tetapi wajibkan lulus subjek Bahasa Inggeris dalam SPM sama seperti perlunya lulus Bahasa Malaysia dalam peperiksaan itu. Kalau ini lah butiran kertas cadangan yang dihulurkan kepada saya, saya akan menandatangani dan bersetuju secara total.

Untuk mengelakkan lebih banyak kontroversi, masalah dan boleh menjejaskan kredibiliti kerajaan, eloknya tamatkan segera pertikaian PPSMI ini dengan menghapuskannya kerana berdasarkan kajian rambang, lebih ramai yang membantah daripada menyokong dan ini bermakna golongan menentang adalah menang majoriti. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, suara ramai hendaklah diambil kira. Isu ini juga menyebabkan demonstrasi dan bantahan jalanan, sesuatu yang tidak sihat untuk negara kita. Pihak pemimpin parti pembangkang juga mengambil kesempatan ini dengan sebaiknya untuk terus menerus menghentam kerajaan secara holistik. Kesianlah pelajar di kawasan pendalaman, sudahlah guru berkualiti agak sukar diperolehi, kondusi sekolah yang macam 'reban kambing', masalah air dan letrik sekarang ditambah lagi bebanan mereka dengan memperolehi ilmu menggunakan bahasa yang mereka sendiri belum 'pas' lagi, cubalah kerajaan fikirkan disebalik keputusan itu kelak.

Isu PPSMI belum reda, sudah ada cadangan pula mewajibkan lulus Bahasa Inggeris dalam SPM. Saya jamin para pejuang Bahasa Malaysia akan melenting lagi dan seterusnya membantah. Kerajaan dianggap 'talam dua muka' apabila dalam usaha memperkasakan Bahasa Malaysia, tiba-tiba dalam masa yang sama Bahasa Inggeris juga mendapat tempat dalam dasar-dasar pendidikan negara. Ini harus dijelaskan secara detail dan berhemah agar setiap cadangan tidak mendatangkan kesan yang tidak baik kepada rakyat.

Saya amat bersetuju PPSMI dihapuskan dan juga bersetuju Bahasa Inggeris sebagai subjek lulus dalam SPM. Dengan ini keputusan kerajaan akan dilihat sebagai 'balance' dan tidak menjejaskan keteguhan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan. Tidak salah untuk mempelajari bahasa asing kerana itu adalah tuntutan namun hendaklah diselaraskan dengan cara yang beradab dan sopan. Jangan nanti jadi 'yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran' yang akhirnya hanya mendapat penat dan rasa malu seterusnya mendatangkan imej buruk kepada diri sendiri. Fikir-fikirlah.........

KOMUNIS ; CHIN PENG & BUKIT KEPONG


Chin Peng & Komunis; No Way!!!



Dalam masa 2-3 minggu ni begitu hangat diperkatakan mengenai pelbagai isu yang berkaitan antara satu sama lain. Bermula isu kepulangan Chin Peng ke Malaysia, imbauan kekejaman komunis, lawatan YAB Perdana Menteri kita ke China dan tragedi Bukit Kepong. Saya sebenarnya mulanya tidak berminat untuk mengulas isu ini memandangkan ianya adalah isu berulang dan acap kali diperkatakan. Namun memandangkan ini adalah isu yang banyak menyentuh sensitiviti ramai pihak, agak menarik juga untuk dikupas.

Isu Chin Peng, Ketua Parti Komunis Malaya ditimbulkan oleh Pengerusi Parti Gerakan Pulau Pinang, Dr Teng Hock Nan yang mencadangkan kerajaan membenarkan Chin Peng pulang ke Malaysia setelah sekian lama hidup dalam buangan di Thailand (khabarnya lah) atas dasar kemanusiaan. Maka setelah isu ini dibangkitkan, maka ramailah yang membantah atas cadangan kepulangan itu terutama daripada bekas-bekas anggota tentera, polis dan pemimpin politik. Akhirnya, isu ini dianggap 'tamat' apabila YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak mengumumkan kerajaan tidak akan sekali-kali membenarkan Chin Peng menjejakkan kaki lagi ke bumi Malaysia. Jawapan yang amat melegakan rakyat negara ini.

Sebenarnya, sebagai generasi yang lahir selepas era komunis, mungkin saya dan rakan-rakan tidak memahami apa yang berlaku sebenarnya, kenapa dan bagaimana hal ini boleh terjadi. Alasan atas dasar kemanusian semata-mata untuk membenarkan Chin Peng pulanng ke Malaysia adalah alasan tidak kukuh lagi rapuh. Selain hal ini akan menyebabkan mengecewakan bekas-bekas pejuang menentang komunis, isu keselamatan dan 'privacy' Chin Peng juga akan menjadi duri dalam daging. Apa guna Chin Peng pulang jika hanya mencetuskan bantahan, huru hara dan 'tindakan membalas dendam' kepadanya. Bagaimana jika ada famili pejuang penentang komunis ini menuntut bela dengan mengemukakan saman berjuta-juta ringgit kepadanya? Mampukah Chin Peng yang sudah uzur itu menghadapi tekanan, cemuhan dan kejian daripada masyarakat? Chin Peng fikirlah sendiri. Kalau balik ke Malaysia umpama keluar dari hutan tebal dan terjun ke gaung, baiklah Chin Peng meneruskan kehidupan pada masa ini seperti biasa sahaja.

Lawatan YAB Perdana Menteri ke China baru-baru ini juga amat signifikan. Lawatan Datuk Seri Mohd Najib ke China ketika isu komunis dan Chin Peng tengah mengelegak seperti tonik berguna untuk menenangkan sedikit keadaaan. Lawatan ini seperti menumpahkan setangki air ke dalam kawah yang berapi, berjaya menstabilkan keadaan. Sama ada ini kebetulan atau sebaliknya, keakraban hubungan Malaysia-China dan publisiti yang meluas sebagai penerusan hubungan dua hala yang dimulakan olah ayahanda Najib pada tahun 1970an dulu amat berkesan di hati rakyat Malaysia.

Tragedi Bukit Kepong adalah kisah pahit dalam rentetan kekejaman komunis di negara ini. Saya berkesempatan menonton filem Bukit Kepong arahan Dato' Jins Shamsudin dan secara peribadi merasai keperitan anggota polis mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong daripada jatuh ke tangan komunis. Walaupun filem ini tidak menggambarkan secara total keadaan realiti pada masa itu, namun perjuangan murni dan semangat melawan hingga ke titisan darah yang terakhir cukup membanggakan. Memang diakui banyak kelemahan yang dapat dilihat di pihak polis terutama sekali dari segi strategi dan perancangan, namun jumlah anggota komunis seramai 200 orang yang mengepung dan menembak Balai Polis dari semua arah sudah cukup menggambarkan kekejaman komunis terhadap musuhnya. Apapun semuanya sudah ditakdirkan angkara kerakusan komunis, ramai yang menjadi mangsa.

Semoga kekejaman komunis ini akan mendapat iktibar dan pengalaman yang berguna. Kepada yang merasa hidup di zaman komunis, jasa anda menentang komunis daripada mengangkat senjata hinggalah mencemuh mereka, anda sebenarnya adalah pejuang sejati. Berapa ramai yang hilang kaki, tangan, keupayaan, jadi janda, jadi duda, menderita fizikal dan mental, trauma dan masalah lain kerana komunis dan kerana itulah juga lebih penting untuk kita melayani mangsa kekejaman komunis ini daripada asyik memikirkan bagaimana membawa pulang Chin Peng ke Malaysia. Adioss...


Wednesday, June 3, 2009

SABAH : NEGERI TERMISKIN DI MALAYSIA?




Sabah, negeri kedua terbesar di Malaysia dan merupakan negeri yang kaya dengan pelbagai sumber alam. Sabah juga merupakan satu-satunya negeri yang pernah ditadbir oleh 4 parti yang membentuk kerajaan dan Sabah juga pemegang rekod mempunyai ketua kerajaan (Ketua Menteri) yang paling ramai. Sebenarnya banyak yang menarik untuk diperkatakan mengenai negeri Sabah. Apapun, sebagai negeri yang membentuk sebahagian Persekutuan Malaysia, Sabah tidak pernah sunyi daripada pelbagai peristiwa dan kontroversi yang mendatangkan impak yang besar kepada negara kita.

Mengikut statistik yang dikeluarkan pada 30 Oktober 2007 di Parlimen Malaysia, jelas menyatakan Sabah adalah negeri termiskin di Malaysia dengan jumlah miskin tegar ialah 32,000 keluarga. Mungkin bagi sebahagian besar rakyat Sabah ini adalah sesuatu yang amat memalukan apatah lagi sekarang Sabah telah dianggap 'istimewa' oleh kerajaan persekutuan. Namun terima atau tidak, itulah hakikatnya. Keluarga miskin tegar di Sabah masih ramai malah menyumbang 30% daripada jumlah keseluruhan miskin tegar di Malaysia. Untuk itu, tidak hairanlah YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak melantik YB Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menerajui Kementerian Pembangunan Luar Bandar & Wilayah untuk menjamin kelangsungan program yang berkesan untuk menurunkan statistik yang ada.

Terbaru, Sabah sudah mempunyai sumber kekayaan baru iaitu minyak di Teluk Kimanis, Sabah. Rakyat Sabah mengharapkan dengan adanya sumber ini, Sabah akan membangun lebih pesat dan pantas mengecapi kemajuan. Apa yang menarik ialah royalti minyak yang diterima Sabah adalah rendah iaitu 5% berbanding Sarawak 15% dan Tan Sri Bernard Dompok pernah menegur kerajaan negeri Sabah agar dapat memohon kenaikan royalti minyak untuk kepentingan rakyat Sabah. Namun sehingga kini masih belum ada perkembangan positif mengenainya.

Isu kemiskinan adalah isu lama yang melanda kehidupan rakyat Sabah. Bagi yang menganalisis perkara ini, pembangunan yang diharapkan sebenarnya hanya berlaku di bandar-bandar besar seperti Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau. Tapi kampung tetap menjadi kampung dan pekan kecil terus di cop sebagai pekan koboi. Tiada apa yang mampu dibanggakan. Rakyat terus miskin bukan kerana malas berusaha, tapi ruang dan peluang yang sepatutnya diberikan kepada mereka tidak sampai atas pelbagai sebab dan rintangan samada daripada pemimpin, birokrasi dan penyelewengan. Beberapa siaran berita TV3 beberapa bulan dulu yang menyiarkan kesusahan hidup masyarakat di Pitas, Kinabatangan dan Nabawan ternyata amat mengharukan. Ramai yang tidak menyangka walaupun Malaysia digelar negara membangun paling maju, tapi masih ada rakyatnya hidup bergelap tanpa letrik, bergantung hidup pada air hujan dan jalan perhubungan yang layak di gelar jalan balak sahaja. Di mana sensitiviti kerajaan terhadap hal ini? Pemimpin sering sahaja melaungkan isu pembangunan, ekonomi dan kemajuan, tapi itu hanya retorik bagai lampin pakai buang, tak berguna.

Kerajaan Sabah pernah mencadangkan Sabah akan menjadi negeri maju pada tahun 2015. Rakyat Sabah rata-rata tergelak besar mendengar perkhabaran itu. Bukan tidak yakin dengan kerajaan negeri mahupun pusat, tapi ianya adalah tidak logik sama sekali kerana untuk memajukan sebuah negeri yang besarnya separuh Semenanjung Malaysia dalam masa kurang 10 tahun adalah tidak masuk akal. Dengan kadar kemiskinan yang tinggi selain penyediaan kemudahan infrastruktur yang rendah, mustahil jangkaan dan matlamat itu akan tercapai. Namun begitu, harapan rakyat Sabah untuk melihat negeri ini maju tetap membara dan sentiasa memberi perhatian terhadap usaha-usaha memajukan negeri ini.

Semoga kerajaan Sabah dapat melipat gandakan usaha untuk memajukan rakyat dan kemudahan infrastruktur yang masih ditahap sederhana ini. Harus diingatkan rakyat sudah memberi isyarat 'LAMPU KUNING' kepada kerajaan agar menunaikan tanggungjawab dengan sebaiknya. Peluang dalam masa 3-4 tahun ini harus direbut sepenuhnya oleh kerajaan agar rakyat tidak berubah fikiran pada pilihanraya akan datang. Usah terlalu yakin kerana sikap terlalu yakin itulah menyebabkan Barisan Nasional (BN) kehilangan negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan pada pilihanraya umum lepas. Saya pasti BN tidak mahu jumlah negeri yang terlepas itu akan bertambah pada masa akan datang. Adiosss.....


Monday, June 1, 2009

LIGA M : PRESTIJ ATAU SEKADAR SYOK SENDIRI?


Sebenarnya Liga Malaysia tetap hebat di mata peminatnya.


Saingan liga utama di eropah sudahpun melabuhkan tirainya. Pasti kebanyakkan peminat setia Liga Perdana Inggeris(England), La Liga (Sepanyol), Serie A (Itali) dan liga lain merasa 'sunyi' dengan berehatnya liga-liga tersebut. Sebelum terlambat, tahniah di ucapkan kepada Manchester United, Barcelona dan Inter Milan yang telah menjuarai liga tradisi masing-masing. Jadi, bila dah rehat, ke mana pula tumpuan peminat sukan bola sepak tanah air? Saya tersenyum simpul bila penyampai radio Hot FM, Kieran mencadangkan semua peminat bola sepak eropah ini untuk memberi fokus pula kepada saingan liga tempatan, Liga Malaysia yang terdiri daripada Liga Super dan Liga Premier. Setuju atau tidak? terpulang kepada anda.

Liga Malaysia sebenarnya tidaklah seteruk mana, masih ada kualiti yang dapat dilihat pada pemian-pemain tempatan. Cuma persepsi masyarakat yang selalu membandingkan Liga M dengan EPL, La Liga dan Serie A. Apalah ada liga M jika dibandingkan dengan liga 'mat salleh' tersebut yang sememangnya sarat dengan pemain bertaraf dunia. Apalah guna kita membandingkan Amri Yahyah, Indra Putra Mahayuddin, Safee Sali dengan Cristiano Ronaldo, Thierry Henry, Frank Lampard dan Steven Gerard, memang bagai langit dengan bumi lah jawabnya. Begitu juga jika kita membandingkan kredibiliti jurulatih Jose Mourinho, Sir Alex Ferguson, Arsene Wenger dan Marco Van Basten dengan Irfan Bakti, K Devan, Azrai Khor Abdullah, memang tak kena langsung.

Tapi bukan persoalan perbandingan itu yang ingin saya ketengahkan, cuma selama ini ramai peminat liga tempatan 'makan hati' dan kecewa dengan kemerosotan kualiti liga M ketika ini. Jika tahun 1990an, kualiti pemain begitu memukau, tidak hairanlah penonton berduyun2 ke stadium untuk menyaksikan perlawanan bola sepak. Jika dahulu, Stadium Shah Alam, Stadium Darulaman, Stadium Larkin, Stadium Likas, Stadium Tuanku Abd Rahman dan lain-lain sentiasa penuh, sekarang kita lihat hanya 2-3 stadium saja yang menjanjikan kehadiran ramai penyokong, itu pun tak sampai separuh ruang stadium dipenuhi juga. Pernah satu siaran langsung yang membabitkan pendahulu Liga Super hanya dihadiri oleh 7,000 ribu penonton sahaja. Alahai itu jumlah penonton yang 'kritikal' sebenarnya, anda pasti dapat bayangkan bagaimana pula penonton pasukan di tangga bawahan liga atau pasukan kelab?

Saya mencadangkan agar Liga Super dan Liga Premier dibubarkan, alasannya kerana kualiti Liga Super dan Liga Premier 'lebih kurang sahaja', selain tidak praktikal kerana membabitkan jumlah pasukan yang berangka ganjil, sesuatu yang tidak di gemari FIFA sebagai badan induk bolasepak dunia. Liga M harus diubah kepada format pada 1990an dulu, iaitu 15 pasukan negeri di kumpulkan dalam satu liga dan tidak akan ada pasukan yang akan diturunkan liga memandangkan di Malaysia tidak banyak pasukan yang ada. Janganlah cuba meniru Liga Inggeris kerana mereka mempunyai 743 pasukan yang bertanding dan mempunyai 4 liga. Malaysia ada berapa pasukan? termasuk kelab pun jumlah tidak sampai 50 pasukan, itu pun jika dapat bertahan, kita tengok apa jadi pada pasukan kelab sepeti TNB Kelantan, JKR Kelantan, NS Chempaka, MK Land, Public Bank dan terbaru pasukan MBJB yang terpaksa disingkirkan dari Liga Premier.

Kemeriah liga M pada 1990an cukup memukau, pada pasukan yang menjuarai liga pasti memang terbukti kehebatannya kerana mereka bertemu dengan semua pasukan. Selain itu, kembalikan pemain-pemain import untuk bermain di Liga M. FAM tidak perlu takut pada bayang-bayang sendiri, sejarah membuktikan pemain import bukan punca kemerosotan pemian tempatan, tanggapan itu terlalu primitif sebenarnya. Scott Olleranshaw, Alistair Edward, Mehmet Durakovic, Mamadou Diallo, Alberto de Nacemento dan Saphou Lassy antara pemian import yang cukup memberi impak kepada kemeriahan liga. Ini juga sebenarnya faktor penarik penonton datang ke stadium. Tahun lalu Stadium Darul Aman sentiasa penuh kerana peminat Kedah begitu teruja dengan kehebatan gandingan pemian import mereka, Marlon Alex James dan Bernard Huggins.

Isu kemerosotan pasukan kebangsaan juga sebenarnya mempengaruhi minat rakyat malaysia kepada liga tempatan. Ramai yang mengimpikan Malaysia mampu bermain dalam Piala Dunia mahupun Piala Asia, tapi buat masa ini itu adalah dalam kategori 'Angan-angan Mat Jenin' rakyat Malaysia. Percayalah, jika pasukan kebangsaan berjaya dan ampuh di peringkat antarabangsa, pasti secara langsung liga tempatan akan meningkat prestasi dan prestijnya dan pada masa itu keyakinan pada liga tempatan meningkat. Usah takut melantik jurulatih asing yang berwibawa untuk mencurahkan bakti di bumi Malaysia, Bertalan Bisckei dan Allan Harris hampir meletakkan Malaysia ke landasan tapi malangnya belum sampai ke destinasi, mereka sudah dihukum 'bunuh' tanpa pengadilan yang meyakinkan.

Apapun, rakyat Malaysia tetap menanti kemunculan Malaysia yang kuat, mantap dan berkesan. Usaha mempertingkatkan liga tempatan harus dilakukan dari masa ke semasa. Malah ada sahabat saya juga mencadangkan kepimpinan 'lapuk' FAM harus di tukar kerana memang ternyata GAGAL. Terpulang pada penilaian semua. Tepuk Dada Tanya Selera, Buka TV Tengok Bola.....Wassalam.

Wednesday, May 27, 2009

LAKSAMANA SUNAN : PAHLAWAN MELAYU YANG 'TERSINGKIR'


Laksamana Sunan : Fantasi atau Realiti.


Apabila saya membaca trilogi novel tulisan penulis novel thriller nombor satu Malaysia, Ramlee Awang Mursyid iaitu Bagaikan Puteri, Cinta Sang Ratu dan Hijab Sang Pencinta, saya cukup tertarik. Selain gaya penulisan novel yang cemerlang, jalan cerita yang gemilang dan informasi yang terbilang, saya juga amat menggemari watak yang dihidupkan dalam trilogi ini. Watak yang dimaksudkan ialah Laksamana Sunan, Laksamana Tanah Melayu yang berkelana di Tanah Rencong (Aceh) gara-gara difitnah di desa halaman serta dimurkai Sultan Melaka.

Laksamana Sunan atau nama sebenarnya Saifudin Bin Jalis (mengikut watak dalam novel) adalah adalah watak yang menjadi tunjang dalam ketiga-tiga novel ini. Walaupun ini sekadar novel, tapi plot cerita dan gaya informasi yang digunakan adalah berdasarkan fakta sejarah. Novel ini sarat dengan pelbagai sindiran, pengajaran, manfaat dan ilmu yang tidak sedikit kepada para pembaca. Namu begitu, saya bukan berniat mempromosi novel tersebut, tapi persoalan yang timbul apakah benar wujudnya Laksamana Sunan dalam sejarah lampau? Jika benar, kenapa nama pahlawan Melayu ini begitu tidak 'Popular' jika dibandingkan dengan pahlawan lain?

Laksamana Sunan bukan sekadar pahlawan, tapi juga seorang yang memiliki peribadi dan agama yang cukup tinggi. Berdasarkan kajian yang saya dapati, Laksamana Sunan sememangnya ada cuma tidak pernah dikembangkan menjadi entiti kepahlawanan Melayu yang masyur. Sama seperti nasib seorang melayu yang bernama awang, atau Enrique yang telah berlayar mengelilingi dunia bersama Ferdinand De Magellan, begitu jugalah nasib Laksamana Sunan yang tidak pernah dipedulikan keberadaannya. Saya tidak dapat memberi gambaran secara tuntas memandangkan fakta mengenai kisah Laksamana Sunan adalah tidak jelas.

Secara jujurnya, saya berpendapat Laksamana Sunan adalah lebih layak digelarkan Pahlawan Melayu yang sejati memandangkan usahanya menentang kejahatan dan kebatilan berbanding pahlawan melayu lain hatta termasuk Laksamana Hang Tuah yang terlalu 'membuta tuli' menjunjung perintah Sultan Mahmud Shah, Sultan Melaka pada masa itu. Terpulang kepada anda semua untuk membuat penilaian. Wassalam.

Monday, May 25, 2009

JAMBATAN WP LABUAN - MENUMBOK : HARAPAN YANG SIRNA UNTUK SEKIAN LAMA


Jambatan Pulau Pinang & Cadangan Jambatan Bengkok Tambak Johor


Pelik tapi benar. Itulah hakikatnya apabila membincangkan mengenai isu pembinaan jambatan yang menghubungkan WP Labuan dengan tanah besar sabah. Yang dikatakan pelik ialah samada kebetulan atau tidak, kedua-dua Perdana Menteri sebelum ini, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi membincangkan isu ini apabila dipenghujung karier mereka sebagai orang nombor 1 di Malaysia. Kalau ada yang masih ingat, Tun Dr Mahathir mengarahkan kajian pembinaan jambatan ini 2 minggu sebelum beliau bersara, dan begitu juga dengan Tun Abdullah.

Saya masih ingat apabila Tun Dr Mahathir menyatakan kepentingan jambatan ini dalam menghidupkan kembali ekonomi Labuan yang lembab disamping untuk menarik kembali pelancong luar untuk datang ke Labuan. Pada masa itu harapan yang dibayangkan untuk menjadikan jambatan tersebut realiti cukup cerah memandangkan kepercayaan dan keyakinan kepada kewibawaan Tun Dr Mahathir pada masa itu. Namun apabila Tun Abdullah mengambil alih, perkara tersebut terus tenggelam tanpa berita. Yang menariknya mengenai Tun Abdullah ialah sebelum bersara, Tun Abdullah telah mengarahkan Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk melakukan kajian kewajaran pembinaan jambatan ini. Dalam pada masa ini, penduduk serta masyarakat WP Labuan dan tanah besar sabah terutama di Menumbok dan Kuala Penyu pasti akan menantikan hasil kajian itu akan dapat diperoleh secepat mungkin.

Menyorot sejarah, kawasan Daerah Kecil Menumbok, iaitu kawasan tanah besar Sabah dahulunya adalah sebahagian daripada Daerah Labuan sebelum Labuan diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada awal 1980an. Ini dapat dibuktikan pada alamat yang digunakan penduduk Menumbok suatu ketika dahulu yang menggunakan poskod dan pengakhiran bandar yang di tulis Labuan. Sejak Labuan 'dipisahkan' dari Sabah, Labuan telah bergerak maju ke hadapan dan membangun dibawah pentadbiran kerajaan persekutuan sehingga sekarang.

Kepentingan jambatan itu kelak akan membuka peluang ekonomi yang seluasnya kepada penduduk Labuan dan Menumbok. Pasti tempias pembangunan jambatan itu akan terpercik kepada penduduk Menumbok yang selama ini dahagakan pembangunan. Kemungkinan Menumbok menjadi Bandar Satelit kepada Labuan cukup cerah kerana kesesakan dijangka akan berlaku berikutan pertambahan kenderaan, pelancong dan penggiat ekonomi di Labuan. Ibarah K.Lumpur-Petaling Jaya serta Kota Kinabalu-Likas, begitulah jangkaannya Labuan-Menumbok. Kawasan perumahan juga dijangka akan mendadak perkembangannya dan ini akan meningkatkan nilai tanah. Keperluan yang semakin bertambah terhadap kediaman pasti mengutungkan masyarakat Menumbok dan Kuala Penyu.

Yang pasti, perkhidmatan Feri dan bot tambang yang selama ini menjadi tunjang penghubung laluan WP Labuan-Menumbok pasti akan berakhir. Maka dengan itu tidak hairan golongan pengusaha bot tidak 'berkenan' dengan cadangan pembinaan jambatan ini. Secara peribadi, mereka tidak perlu risau kerana mereka boleh mengubah corak perniagaan mereka dengan menjadi agen bot membawa barangan ataupun 'River Cruise' untuk pelancong asing. Bekerjasamalah dengan Kementerian Pelancongan, pasti periuk nasi mereka tidak akan terjejas dengan teruk.

Zaman pentadbiran YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ni, masyarakat Labuan dan Menumbok serta Sabah keseluruhannya mengharapkan pembinaan jambatan ini akan menjadi kenyataan. Konsep rakyat didahulukan amat diharapkan. Kerajaan tidak akan rugi dengan pembinaan jambatan ini kerana kerajaan akan mendapat manfaat yang tidak sedikit hasil daripadanya kelak. Wassalam.