Wednesday, June 10, 2009

KOMUNIS ; CHIN PENG & BUKIT KEPONG


Chin Peng & Komunis; No Way!!!



Dalam masa 2-3 minggu ni begitu hangat diperkatakan mengenai pelbagai isu yang berkaitan antara satu sama lain. Bermula isu kepulangan Chin Peng ke Malaysia, imbauan kekejaman komunis, lawatan YAB Perdana Menteri kita ke China dan tragedi Bukit Kepong. Saya sebenarnya mulanya tidak berminat untuk mengulas isu ini memandangkan ianya adalah isu berulang dan acap kali diperkatakan. Namun memandangkan ini adalah isu yang banyak menyentuh sensitiviti ramai pihak, agak menarik juga untuk dikupas.

Isu Chin Peng, Ketua Parti Komunis Malaya ditimbulkan oleh Pengerusi Parti Gerakan Pulau Pinang, Dr Teng Hock Nan yang mencadangkan kerajaan membenarkan Chin Peng pulang ke Malaysia setelah sekian lama hidup dalam buangan di Thailand (khabarnya lah) atas dasar kemanusiaan. Maka setelah isu ini dibangkitkan, maka ramailah yang membantah atas cadangan kepulangan itu terutama daripada bekas-bekas anggota tentera, polis dan pemimpin politik. Akhirnya, isu ini dianggap 'tamat' apabila YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak mengumumkan kerajaan tidak akan sekali-kali membenarkan Chin Peng menjejakkan kaki lagi ke bumi Malaysia. Jawapan yang amat melegakan rakyat negara ini.

Sebenarnya, sebagai generasi yang lahir selepas era komunis, mungkin saya dan rakan-rakan tidak memahami apa yang berlaku sebenarnya, kenapa dan bagaimana hal ini boleh terjadi. Alasan atas dasar kemanusian semata-mata untuk membenarkan Chin Peng pulanng ke Malaysia adalah alasan tidak kukuh lagi rapuh. Selain hal ini akan menyebabkan mengecewakan bekas-bekas pejuang menentang komunis, isu keselamatan dan 'privacy' Chin Peng juga akan menjadi duri dalam daging. Apa guna Chin Peng pulang jika hanya mencetuskan bantahan, huru hara dan 'tindakan membalas dendam' kepadanya. Bagaimana jika ada famili pejuang penentang komunis ini menuntut bela dengan mengemukakan saman berjuta-juta ringgit kepadanya? Mampukah Chin Peng yang sudah uzur itu menghadapi tekanan, cemuhan dan kejian daripada masyarakat? Chin Peng fikirlah sendiri. Kalau balik ke Malaysia umpama keluar dari hutan tebal dan terjun ke gaung, baiklah Chin Peng meneruskan kehidupan pada masa ini seperti biasa sahaja.

Lawatan YAB Perdana Menteri ke China baru-baru ini juga amat signifikan. Lawatan Datuk Seri Mohd Najib ke China ketika isu komunis dan Chin Peng tengah mengelegak seperti tonik berguna untuk menenangkan sedikit keadaaan. Lawatan ini seperti menumpahkan setangki air ke dalam kawah yang berapi, berjaya menstabilkan keadaan. Sama ada ini kebetulan atau sebaliknya, keakraban hubungan Malaysia-China dan publisiti yang meluas sebagai penerusan hubungan dua hala yang dimulakan olah ayahanda Najib pada tahun 1970an dulu amat berkesan di hati rakyat Malaysia.

Tragedi Bukit Kepong adalah kisah pahit dalam rentetan kekejaman komunis di negara ini. Saya berkesempatan menonton filem Bukit Kepong arahan Dato' Jins Shamsudin dan secara peribadi merasai keperitan anggota polis mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong daripada jatuh ke tangan komunis. Walaupun filem ini tidak menggambarkan secara total keadaan realiti pada masa itu, namun perjuangan murni dan semangat melawan hingga ke titisan darah yang terakhir cukup membanggakan. Memang diakui banyak kelemahan yang dapat dilihat di pihak polis terutama sekali dari segi strategi dan perancangan, namun jumlah anggota komunis seramai 200 orang yang mengepung dan menembak Balai Polis dari semua arah sudah cukup menggambarkan kekejaman komunis terhadap musuhnya. Apapun semuanya sudah ditakdirkan angkara kerakusan komunis, ramai yang menjadi mangsa.

Semoga kekejaman komunis ini akan mendapat iktibar dan pengalaman yang berguna. Kepada yang merasa hidup di zaman komunis, jasa anda menentang komunis daripada mengangkat senjata hinggalah mencemuh mereka, anda sebenarnya adalah pejuang sejati. Berapa ramai yang hilang kaki, tangan, keupayaan, jadi janda, jadi duda, menderita fizikal dan mental, trauma dan masalah lain kerana komunis dan kerana itulah juga lebih penting untuk kita melayani mangsa kekejaman komunis ini daripada asyik memikirkan bagaimana membawa pulang Chin Peng ke Malaysia. Adioss...


No comments: