Sunday, April 12, 2009

CERITA SAF "1 MALAYSIA, RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN"


Tiga Kekuatan : Najib, Tee Kiat & Samy Vellu menghadapi tugas sukar meyakinkan rakyat.


Barisan Kabinet Malaysia sudah disenaraikan dan umum mengetahui siapa yang baru, siapa yang kekal dan siapa yang tercicir. YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak telah membariskan kepimpinan yang boleh bekerja dan menghasilkan sesuatu yang diharapkan rakyat. Melihat kepada senarai yang ada, memang diakui ialah seperti yang diramalkan oleh para penganalisis dan pengikut rapat cerita politik tanah air. Beberapa tokoh lama telah digugurkan antaranya Tan Sri Muhammad Muhd Taib, Datuk Seri Syed Hamid Albar, Datuk Seri Zulhasnan Rafique dan Datuk Ong Ka Chuan. Mereka ini terpaksa menerima hakikat zaman sudah berubah dan berilah peluang kepada muka baru dalam mengemudi bahtera yang ditinggalkan.

Saya tidak berhasrat untuk 'mengomen' panjang mengenai hal ini, namun apa yang menarik perhatian ialah bertambahnya barisan Menteri dari negeri Sabah. Hal ini seharusnya tidak dipertikaikan mana-mana pihak kerana sumbangan Sabah dan Sarawak, dua negeri terbesar di Malaysia ini memang besar, ibarat tonik kepada kroniknya kepincangan BN dalam pilihanraya umum tahun lepas. Bayangkan jika Sabah dan Sarawak kehilangan separuh saja kepada pembangkang, pasti Datuk Seri Anwar Ibrahim akan duduk di Pejabat Perdana Menteri pada masa ini. Selama ini sumbangan kedua negeri ini memang diakui tapi hanya dipandang sebelah mata. Pernah dahulu Sabah dan Sarawak menang 100% atau hampir 100% kerusi Parlimen tapi yang dilantik menjadi menteri hanya seorang dua. Kesabaran rakyat ternyata ada batasnya. Mujur BN dapat menutup hal ini dengan segera, kerana jika perubahan persepsi ini dibiarkan, alamatnya lah BN sekadar tertulis di buku sejarah.

Perlantikan Datuk Seri Mohd Syafie Apdal sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar & Wilayah amat berkesan dihati rakyat Sabah dan Sarawak. Sebenarnya selama ini rakyat menanti perlantikan kementerian itu diberi kepada YB Borneo dan hanya sekarang baru menjadi realiti. Yalah status negeri termiskin dan termundur yang dipegang Sabah selama ini harus dibantu kerana amat memalukan negeri yang mempunyai banyak sumber tapi miskin. Berbanding Sarawak yang berjaya menguruskan negerinya dengan cekap dan kalau ada yang masih belum tahu, Sarawak merupakan negeri terkaya di Malaysia dengan rizab kewangan dan pengurusan dana yang cemerlang.


Berbalik kepada Datuk Seri Syafie Apdal, beliau memang seorang yang layak mengetuai kementerian ini. Selain beliau sendiri mewakili kawasan Parlimen yang mundur, beliau juga adalah pemimpin yang berjiwa rakyat dan memahami aspirasi akar umbi. Seharusnya Syafie mengambil kesempatan ini untuk membasmi kemiskinan tegar serta membangunkan kawasan luar bandar di Sabah yang sememangnya masih lagi tidak banyak berubah. Jika berjaya, selain mampu mengeluarkan Sabah dan negeri-negeri misikin lain dari kelompok kemiskinan, ini juga akan menjamin survival politik Syafie yang dilihat sebagai pemimpin pelapis untuk masa depan. Lebih manis, beliau juga adalah satu-satunya pemimpin dari Sabah yang boleh pergi jauh, mungkin Perdana Menteri Malaysia pada satu masa nanti, siapa tahu?

Perlantikan 4 Menteri dan 5 Timbalan Menteri dari negeri ini amat membanggakan. Inilah masanya kepada mereka yang dilantik untuk menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa pemimpin Sabah sekarang bukanlah kampungan, tidak berwawasn, boleh diperkecilkan dan dipandang rendah. Inilah masanya membuktikan tidak mustahil untuk orang Sabah berjaya dalam karier politik. Rakyat Sabah memberi sandaran kepada Datuk Seri Mohd Syafie, Datuk Anifah Aman (Menteri Luar Negeri), Tan Sri Bernard Dompok (Menteri Perusahaan, Perladangan & Komoditi), Datuk Dr Maximus Johnity Ongkili (Menteri Sains, Teknologi & Inovasi), Datuk V.K Lee (Timb. Menteri di JPM), Datuk Abd Rahim Bakri (Timb. Menteri Pengangkutan), Datuk Lajim Ukin (Timb. Menteri Perumahan & Kerajaan Tempatan), Tan Sri Joseph Kurup (Timb. Menteri Sumber Asli & Alam Sekitar) dan Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin (Timb. Menteri Kesihatan) untuk membuka mata pada yang menutup kepada Sabah sebelum ini.

Besarlah harapan YAB Datuk Seri Mohd Najib untuk melihat Kabinetnya berkerja keras dan berkesan, besar lagi harapan rakyat yang disandarkan kepada mereka. Harus diingat, ini bukan lagi tempoh percubaan untuk melakukan 'test power' pada rakyat, sebaliknya rakyat sudah bersiap sedia untuk melakukan sepakan penalti bagi menentukan masa depan kerajaan pada masa kini, para menteri sekalian, bersiap sedialah menyelamatkan sepakan penalti rakyat, jika berjaya selamatlah semuanya, jika gagal rakyat perlukan penjaga gol yang lain. Sekian dan wassalam.

1 comment:

Anonymous said...

Sebagai rakyat kita harus sokong kepimpinan sekarang...spt yang PM katakan untuk beri kabinet yang baru di bentuk masa untuk mencapat KPI masing2...