Wednesday, June 10, 2009

SINGKIRKAN PPSMI DAN WAJIBKAN LULUS B.INGGERIS DALAM SPM


PPSMI & Bahasa Inggeris : Isu yang sentiasa mendapat pertikaian.


Menteri Pelajaran Malaysia sudah bertukar tangan. Namun isu yang ditinggalkan oleh Menteri lamanya, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein kepada pengganti Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Perdana Menteri tidak pernah sunyi. Isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) cukup menggegarkan masyarakat Malaysia. Cadangan ini ditentang oleh majoriti pejuang bahasa kebangsaan dan komuniti sastera serta pemimpin-pemimpin politik tertentu selain daripada badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Secara peribadi, saya juga tidak berapa 'berkenan' dengan PPSMI ini. Cuma apabila Tan Sri Muhyiddin meminta pendapat masyarakat Malaysia berkenaan cadangan mewajibkan lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sesuatu yang menarik untuk diulas. Bagi saya mudah saja, hapuskan PPSMI dan kembalikan mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Malaysia tetapi wajibkan lulus subjek Bahasa Inggeris dalam SPM sama seperti perlunya lulus Bahasa Malaysia dalam peperiksaan itu. Kalau ini lah butiran kertas cadangan yang dihulurkan kepada saya, saya akan menandatangani dan bersetuju secara total.

Untuk mengelakkan lebih banyak kontroversi, masalah dan boleh menjejaskan kredibiliti kerajaan, eloknya tamatkan segera pertikaian PPSMI ini dengan menghapuskannya kerana berdasarkan kajian rambang, lebih ramai yang membantah daripada menyokong dan ini bermakna golongan menentang adalah menang majoriti. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, suara ramai hendaklah diambil kira. Isu ini juga menyebabkan demonstrasi dan bantahan jalanan, sesuatu yang tidak sihat untuk negara kita. Pihak pemimpin parti pembangkang juga mengambil kesempatan ini dengan sebaiknya untuk terus menerus menghentam kerajaan secara holistik. Kesianlah pelajar di kawasan pendalaman, sudahlah guru berkualiti agak sukar diperolehi, kondusi sekolah yang macam 'reban kambing', masalah air dan letrik sekarang ditambah lagi bebanan mereka dengan memperolehi ilmu menggunakan bahasa yang mereka sendiri belum 'pas' lagi, cubalah kerajaan fikirkan disebalik keputusan itu kelak.

Isu PPSMI belum reda, sudah ada cadangan pula mewajibkan lulus Bahasa Inggeris dalam SPM. Saya jamin para pejuang Bahasa Malaysia akan melenting lagi dan seterusnya membantah. Kerajaan dianggap 'talam dua muka' apabila dalam usaha memperkasakan Bahasa Malaysia, tiba-tiba dalam masa yang sama Bahasa Inggeris juga mendapat tempat dalam dasar-dasar pendidikan negara. Ini harus dijelaskan secara detail dan berhemah agar setiap cadangan tidak mendatangkan kesan yang tidak baik kepada rakyat.

Saya amat bersetuju PPSMI dihapuskan dan juga bersetuju Bahasa Inggeris sebagai subjek lulus dalam SPM. Dengan ini keputusan kerajaan akan dilihat sebagai 'balance' dan tidak menjejaskan keteguhan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan. Tidak salah untuk mempelajari bahasa asing kerana itu adalah tuntutan namun hendaklah diselaraskan dengan cara yang beradab dan sopan. Jangan nanti jadi 'yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran' yang akhirnya hanya mendapat penat dan rasa malu seterusnya mendatangkan imej buruk kepada diri sendiri. Fikir-fikirlah.........

2 comments:

Adisaputra said...

Isu ni sebenarnya sudah lama tetapi masih belum ada penyelesaian..kenapa?
bagi saya kita tidak akan tertinggal dibelakang jika kita tidak menggunakan bahasa inggeris dalam mata pelajaran matematik dan sains...dan saya bersetuju jika PPSMI di mansuhkan...
kenapa suatu ketika dahulu kita gah dgn bahasa kita sendiri...ingat sejarah kerana sejarah membina jati diri

harap2 selepas ini isu PPSMI dapat diselesaikan untuk kebaikan anak2 kita juga..sudah jelas amai yang tidak bersetuju dgn PPSMI...jgn perjudikan masa depan anak kita

Anonymous said...

saya kadang-kadang terfikir adakah saya ini benar-benar anak jati malaysia yang berasal dari sabah atau tidak..?kadang-kadang tertanya-tanya juga bangsa saya apa..betul-betul anak tempatan kah saya ini..?
bagi saya kalau saya bukan anak tempatan saya malu untuk membuat kenyataan terbuka seperti ini yang mengatakan tentang isu malaysia..hairan...