Tuesday, April 28, 2009

SIAPA BENAR, TUAH ATAU JEBAT?


Hang Tuah & Hang Jebat, Ketegasan & Pendirian Menjadi Sempadan.


Hang Tuah, nama yang begitu sinonim sekali dengan dunia kepahlawanan Melayu. Jika disebut sahaja, rata-rata daripada kita sememangnya tahu siapa Hang Tuah. Jika ada yang 'berhajat' untuk menatap Hang Tuah, satu replika 'Hang Tuah' ada ditempatkan di Muzium Samudera di tengah Bandar Melaka. Jika itu replika itu sememangnya itulah 'Hang Tuah', saya memang 'respek' Hang Tuah kerana melihat saja memang nampak kegagahan dan kepahlawanan menerusi gaya dan bentuk badannya.

Sebagai mengabdikan kepahlawanan Hang Tuah, beberapa buah filem Hang Tuah telah diterbitkan. Ianya diterbitkan dalam pelbagai versi dan versi yang paling popular adalah Hang Tuah filem versi lakonan dan arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Filem ini memaparkan Hang Tuah adalah pahlawan termasyur dan boleh dikatakan 'sempurna' dari segala segi, dikurniakan kehandalan, kebijaksanaan, ketampanan dan disayangi. Kepada mereka yang fanatik kepada Hang Tuah, beliau adalah tiada galang gantinya. Apapun, kemuncak filem ini ialah di saat Hang Jebat, sahabat karib Hang Tuah telah melakukan pemberontakan lantaran tidak berpuas hati dengan kezaliman Sultan Melaka yang menjatuhkan hukuman mati kepada Hang Tuah atas kesalahan berlaku curang dengan dayang Istana yang juga kekasihnya sewaktu menuntut ilmu di Gunung Ledang, Melur.

Filem ini sebenarnya biasa saja tapi 'moral of the story' filem ini memberi impak sehingga kini. Pada pandangan peribadi saya, pejuang sebenar adalah Hang jebat. Tidak menafikan 'pengikhtirafan' yang diberikan kepada Hang Tuah, Hang Jebat tidak harus diketepikan. Derhaka kah Hang Jebat kerana menentang pihak yang zalim? Salahkah Hang Jebat memperjuangkan nasib sahabatnya itu sedangkan di dalam agama sesiapa yang membiarkan kejahatan berlaku adalah bersubahat? Zalimkah Hang Jebat menghapuskan mereka-mereka yang zalim kepada manusia lain?

Hang Tuah. Pahlawan Melaka dan Melayu yang terbilang. Tapi pahlawankah dia kerana taksub dan membuta tuli menuruti titah Sultan hingga sanggup mengorbankan apa yang dia ada? Pahlawankah yang digelarkan kepada mereka-mereka yang tidak punya pendirian dan takut yang tidak bertempat? Menipu dan mengorbankan orang lain itukah sifat pahlawan? Tidak kah ada sedikit rasa berbangga dan berterima kasih kepada mereka-mereka yang memperjuangkan manusia yang teraniaya? Inilah persoalan yang perlu difikirkan semua orang, tepuk dada, tepuk minda dan fikirkan firasat anda.

Terdapat isu yang menarik sebenarnya disebalik kisah Hang Tuah ini. Dalam beberapa artikel yang pernah saya baca, ada yang mengatakan bukan Hang Tuah yang membunuh Hang Jebat lantaran tidak sampai hati membunuh sahabat karib sendiri. Hang Kasturi dikatakan menikam secara rambang dengan menutup matanya (bermaksud sesiapa yang tertikam Hang Kasturi tidak pasti) kerana sudah tidak sanggup melihat pergaduhan itu berlarutan. Terdapat juga artikel yang menyatakan Hang Jebat tertikam dirinya sendiri ketika cuba bergelut dikala Keris Taming Sari menjadi rebutannya bersama Tuah. Ada juga yang menyatakan Hang Jebat membunuh diri. Susah untuk manusia zaman kini mengesahkannya kerana ia berlaku beratus tahun dahulu. Hanya dengan bukti-bukti yang sedikit serta informasi secara turun temurun yang menjadi sandaran untuk mengetahui apakah sebenarnya yang berlaku di dalam Istana Melaka antara Tuah dan Jebat tersebut.

Iktibar yang paling jelas ialah berpada-padalah menjadi pemimpin, jangan terlalu riak dengan kuasa hingga kerana satu kesalahan, seribu budi yang dicurahkan hanya dipandang sebelah mata. Berpada-padalah menjadi pengikut, kerana akal fikiran sentiasa ada untuk membuka laluan dan menentukan bahawa pemimpin yang zalim patut di tentang, pemimpin yang amanah harus disanjung. Apapun secara peribadi, dalam kisah Hang Tuah ini, saya memberikan 'Man Of The Match' kepada Bendahara Melaka, Tun Perak kerana kebijaksanaan beliaulah sekurang-kurangnya telah menyelamatkan maruah seorang pahlawan Melayu yang tersohor dan berkarisma. Bayangkan jika Hang Tuah dibunuh, apa agaknya terjadi kepada Warsian Kesultanan Melayu masa kini? ........."Tak Kan Melayu Hilang Di Dunia'.......


1 comment:

Adisaputra said...

Sejarah membina jati diri...belajar sejarah agar kita mengulangi kesalahan yang mungkin akan membawa kesan kepada keturunan kita hingga beratus - ratus tahun lamanya