Monday, May 4, 2009

KONSEP 1 MALAYSIA SUDAH LAMA BERTAPAK DI SABAH


Konsep 1 Malaysia Pemangkin Keharmonian Perhubungan Kaum


Apabila YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak menyatakan negeri Sabah adalah perintis kepada Konsep 1 Malaysia, semamangnya semua rakyat Sabah mengangguk dan berbangga. Bukan kerana riak atau bermegah-megah, tapi kerana itu adalah realitinya dan kebenaranya. Kenapa? sebentar lagi saya akan huraikan. Pada mereka yang belum pernah datang ke Sabah, mungkin bayangan masih kabur umpama siaran Tv Astro yang terganggu apabila waktu hujan. Saya juga tidak terkejut jika ada yang masih ragu-ragu dengan kenyataan Perdana Menteri tersebut.

Sabah, negeri kedua terbesar di Malaysia mempunyai 48 etnik yang hidup dalam pelbagai ruang lingkup di segenap tanah Sabah. Antara etnik yang ada di negeri ini ialah Kadazan, Murut, Dusun, Bajau, Brunei, Bisaya, Sungai, Iranun, Rungus, Kedayan, Cina, India dan sebagainya. Sungguhpun pelbagai dialek etnik dan sukuan dituturkan, nama Bahasa Malaysia (Bahasa Kebangsaaan) adalah mudah dituturkan dengan lancar walaupun dalam slanga Sabah. Malah jangan terkejut bila kaum Cina dan India begitu fasih berbahasa etnik di sini. Contohnya di penempatan masyarakat Melayu Brunei, orang cina begitu fasih bertutur bahasa Brunei. Saya pernah membawa sahabat saya dari kaum Dusun dan beliau tidak percaya orang Cina di sini tidak menggunakan bahasa Cina apabila berinteraksi sesama mereka, tapi berbahasa Brunei! Malah tidak keterlaluan jika dikatakan agak sukar menentukan siapa berbangsa Cina apabila mereka bercampur dengan masyarakat lain. Itu belum lagi di kawasan lain, banyak lagi ceritanya.

Di restoran, di kedai kopi, orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Murut mahupun beragama Islam, Kristian, Hindu semuanya boleh duduk dalam satu meja. Berbual-bual, berbincang mengenai hal semasa. Tidak pernah timbul keraguan ataupun kerisauan apabila duduk bersama. Topik yang dibincangkan pula merangkumi semua tanpa perlu melakukan 'hidden' kepada mana-mana topik. Bukan seperti di tempat lain, sekadar duduk apabila ada urusan bisnes ataupun formal sahaja. Itulah negeri Sabah. Sahabat saya dari semenanjung pernah bertanya, kenapa ada banyak kad jemputan kahwin orang cina di rumah saya. Saya kata orang di sini kalau ada majlis perkahwinan, semua jemput. Tiada yang terkecuali. Begitu juga jika ada kematian. Tiada batasan selagi ianya tidak menyalahi hukum agama. Keharmonian dan perpaduan telah sebati dalam diri dan ianya tidak pernah dipertikaikan.

Kalau ada yang tidak percaya, ada kaum Cina menjadi ahli UMNO. Ini ketara berlaku semasa zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri. keyakinan kaum-kaum lain terhadap UMNO begitu kuat hingga tidak menganggap UMNO sebagai parti untuk orang Melayu sahaja. Dari aspek politikpun, jika diteliti, Parti Bersatu Sabah (PBS) pimpinan YB Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan di anggotai semua kaum yang ada di negeri ini. Walaupun wujud parti berasaskan kaum di Sabah seperti UPKO (Kadazan Dusun Murut), LDP (Cina), PBRS (Kadazan Murut) dan SAPP (Cina) tapi ia sedikitpun tidak pernah mengganggu ketenteraman dalam perhubungan kaum.

Apa yang merisaukan sebenarnya ialah kebanjiran Pendatang Tanpa Izin (PTI) di negeri ini. PTI inilah sebenarnya yang banyak 'mengganggu' keharmonian hidup negeri ini. Kadar kes jenayah, dadah dan rompakan kebanyakkan adalah didalangi PTI dari Indonesia dan Filipina. Faktor geografi Sabah yang luas dan terdedah, menyukarkan usaha mengekang masalah ini secara tuntas.

Terima kasih kepada Datuk Seri Najib kerana pengikhtirafannya kepada negeri Sabah. Ini adalah satu kesinambungan kepada keharmonian hidup dan pehubungan kaum yang mantap. Isu perkauman jarang sekali berkumandang di Sabah, tidak pernah parti politik bertelagah dan bertikam lidah mengenai hubungan kaum di Sabah. Itulah istimewanya negeri Sabah. Negeri Di Bawah Bayu.


2 comments:

Anonymous said...

sbh tlalu advanced konsep 1, PTI pn jd yb..x caya cr lah kt LD tu

Adisaputra said...

tak tumbuh tak melata tak sungguh PM tak kata...Sabah memang sudah lama mengamalkan konsep satu malaysia...lagi pun mana ada PTI jadi YB kalau nak jadi YB kena warganegara Malaysia...saudara ada bukti ka mengatakan YB tu PTI jgn serkap jarang ja...kalau betul saudara buktikan la...negara kita ada undang - undang...