Tuesday, May 12, 2009

PERMAINAN CATUR DI PERAK : "CHECKMATE" YANG DI "CHECKMATE"


Catur Perak : Datuk Seri Nizar Vs Datuk Seri Dr Zambry


Macam-macam! Itulah perkataan yang paling sesuai apabila memperkatakan situasi di Perak. Ibarat permainan catur, strategi dan mengatur langkah untuk melakukan 'checkmate' kepada pihak lawan saling bertukar-tukar. Begitulah permainan politik antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR). Dua hari lepas, PR berjaya 'checkmate' BN apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan YB Datuk Seri Ir Muhammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah. Tapi itu hanya bertahan selama 19 jam, BN berjaya kembali 'checkmate' PR apabila Mahkamah sama membenarkan permohonan YB Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir untuk menangguhkan perlaksanaan keputusan mahkamah sehinggalah proses rayuan selesai. Dalam masa dua hari, pejabat MB di bangunan Perak Darul Rizdhuan menerima kehadiran Menteri Besar ini berselang-seli antara Datuk Seri Nizar dan Datuk Seri Dr Zambry. Lucunya!!!

Itulah nasib rakyat Perak. Pertama kali dalam sejarah satu negeri mempunyai 2 Menteri Besar, 2 Barisan Exco, 2 Speaker, Persidangan DUN yang saling membatalkan satu sama lain dan kekeliruan ini menyebabkan rakyat menjadi mangsa. Tragedi persidangan DUN bawah pokok yang selama ini hanya kita boleh lihat melalui filem Do Re Me menerusi kerajaan Pasir Berdengung, menjadi realiti di Perak. Insiden Speaker DUN enggan berganjak dari kerusinya hingga terpaksa di usung keluar serta kekecohan Sidang DUN sehingga berdiri di atas meja dan baling-membaling objek juga ada di Perak. Seorang Menteri Besar mohon sembah derhaka kepada perintah Sultan Perak dan pemecatan Setiausaha Kerajaan Negeri yang dilantik kerajaan persekutuan juga ada di Perak. Pendek kata 'Semua Ada'.

Apa yang terjadi sebenarnya. Pada pendapat peribadi saya tanpa menyebelahi mana-mana pihak, jalan terbaik ialah membubarkan DUN Perak dan menyerahkan kembali kuasa rakyat untuk memilih kerajaan yang mereka mahukan. Itu lebih adil untuk rakyat. BN tidak perlu takut untuk menghadapi pilihanraya itu kerana walaupun dalam siri pilihanraya kecil (PRK) BN seringkali tewas, itu bukan boleh dijadikan alasan kerana situasi PRK dengan pilihanraya umum negeri adalah amat berbeza. Harus diingat, BN ditewas di PRK hampir semua kerana bertanding di kerusi sememangnya milik pembangkang kecuali di Kuala Terengganu. Dengan pentadbiran baru YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak serta angin perubahan yang semakin bertiup kencang, tidak mustahil BN dapat memerintah Perak dengan stabil, aman dan damai.

Untuk PR, peluang mereka untuk berkuasa di Perak memang ada. Sebab itu mereka beria-ia untuk membubarkan DUN Perak. Tapi jangan salah langkah kerana sikap terlalu 'over confident' boleh membuatkan PR menggigit jari. BN yang ada sekarang dan persepsi rakyat terhadap PR tidak sama seperti setahun yang lepas. Pelbagai tragedi sudah berlaku dan kebanyakkan melibatkan pemimpin PR dan ini telah sedikit sebanyak mengubah persepsi rakyat terhadap mereka. Apapun BN perlu bekerja keras andainya mahu berkuasa di Perak. Kekalahan di Parlimen Bukit Gantang merupakan tamparan maha hebat kepada BN namun ianya tidak boleh digambarkan sebagai keputusan keseluruhan rakyat Perak. Secara rasionalnya, jika BN menang di Bukit Gantang, tidak mustahil BN akan berani membubarkan DUN Perak pada ketika ini.

Kemelut di Perak lebih teruk jika dibandingkan dengan tumbangnya kerajaan PBS di Sabah pada tahun 1994. Pada masa itu, YB Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan dengan rela hati menyerahkan tampuk kekuasaan kepada YB Tun Sakaran Dandai sebagai Ketua Menteri Sabah yang baru. Tidak ada pula kekecohan mahupun tindakan mahkamah yang di ambil kerana Datuk Seri Joseph terpaksa akur dengan kemahuan rakyat akar umbi secara keseluruhannya. Apa yang seterusnya terjadi di Perak, sama-sama kita nantikan...

No comments: