Friday, May 22, 2009

PENANTI : APABILA PENDEKAR BERKATA TIDAK


Pertarungan Dr Mansur Osman menentang BN tidak kesampaian.


Segalanya sudah terjawab. Barisan Nasional tidak akan bertanding Pilihanraya Kecil (PRK) DUN Penanti. Itulah pengumuman yang disampaikan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak selepas mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN. Apa yang pasti, pro dan kontra terhadap keputusan itu terdengar di sana sini. Bagi penyokong aspirasi kerajaan, mereka menyambut baik keputusan ini tetapi bagi pembangkang, pasti isu ini akan dijadikan lauk paling 'mewah' mereka untuk terus menghentam kerajaan dan Najib.

Alasan yang diberikan mudah, PRK ini adalah tidak menepati kehendak perlembagaan dan ianya bertujuan untuk menyelesaikan kemelut dalaman parti pembangkang khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR). Ketegasan Najib dan BN ini merupakan sesuatu yang luar biasa. Kebiasaannya apabila PRK, BN akan bersiap sedia semenjak berita satu-satu PRK akan diadakan lagi. Tapi kali ini berbeza, bayangkan sahaja PRK Penanti adalah topik paling 'tidak popular' pemimpin BN dan jentera pilihanraya PRK Penanti seolah-olah 'digantung' memandangkan tiada ketetapan yang dibuat. Mesti ada sesuatu yang tidak kena?! itulah ungkapan sahabat saya ketika membahaskan isu ini.

Umpama seorang Pendekar yang tidak mahu masuk ke gelanggang pertarungan, pasti bersebab. Mungking gelanggang pertarungan itu penuh tipu muslihat? Mungkin di atas lantai ataupun tanah gelanggang itu sudah ditanam sesuatu yang boleh mencederakan sang pendekar? Sebagai pendekar, naluri dan firasat yang bersandarkan kebenaran sentiasa berada di hati. Harus diingat, apabila gelanggang dibuka, tidak semestinya pertarungan berlaku. Itulah yang terjadi sebenarnya.

BN secara halus sebenarnya mahu PKR berfikir bahawa PRK bukan bahan mainan. Persoalan takut kalah juga bukanlah satu yang dominan dalam hal ini. Para penganalisis lebih optimis bahawa BN tidak bertanding disebabkan faktor mahu menumpukan kepada usaha menambat hati rakyat secara berhemah, iaitu tidak melalui pilihanraya dan menabur janji semata-mata. Lebih baik sentiasa turun padang sepanjang masa daripada hanya pada musim pilihanraya. Itu yang cuba diterapkan Najib dalam saf kepimpinannya masa ini. Faktor kelembaban ekonomi dunia serta mahu mengelakkan konflik dalam insiden politik juga diambil kira. Sudah-sudahlah, lihat negeri Perak, apa sudah jadi sekarang.

Sahabat saya ada menyatakan, sepatutnya BN harus juga bertanding di Penanti kerana pengundi Penanti yang menyokong BN pasti rasa diabaikan. Tindakan BN ini seolah-olah menghukum penduduk Penanti yang mungkin akan memberi sokongan pada BN. BN juga boleh menjadikan PRK Penanti sebagai 'bahan ujikaji' mereka untuk mengetahui samada rakyat memberi respon yang baik terhadap perubahan dasar dan konsep kerajaan baru ini. Itu pendapat peribadi sahabat saya, terpulang kepada penilain anda samada ianya rasional atau sebaliknya. Sekian, Wassalam.

1 comment:

Adisaputra said...

teruskan perjuangan untuk membela nasib rakya...