Thursday, May 21, 2009

WUJUDKAN MINI BALAI BOMBA DI MENUMBOK


Kebakaran : Isu yang dibimbangi penduduk Menumbok.


2 hari lalu, Pekan Menumbok dikejutkan dengan satu kebakaran rumah seorang penduduk di Kampung Darat. Habis semuanya terbakar tanpa sempat menyelamatkan harta benda memandangkan difahamkan pemilik rumah tidak berada di rumah semasa kejadian. Ini merupakan kebakaran yang ntah kali ke berapa di daerah kecil ini. Tapi bukan itu isu yang ingin saya sampaikan di sini. Melihat kepada susur galur dan sinopsis cerita, setiap kali kebakaran adalah sama iaitu BOMBA hanya akan sampai bila rumah tersebut sudah 'langsai' di jilat api, paling tidak pun 30 minit setelah kebakaran. Kerja anggota BOMBA hanya menyiasat punca kebakaran tanpa perlu memancutkan air untuk memadamkan kebakaran.

Isu ini sudah lama dan lapuk sebenarnya. Pada tahun 2001, Balai Polis Menumbok telah mengalami kebakaran dan ceritanya tetap sama, BOMBA datang setelah musnah semuanya. Benar, satu Ibu Pejabat Balai BOMBA telah dibina di Kuala Penyu dan telah beroperasi tapi apa ada pada balai BOMBA jika jaraknya terlalu jauh dari Menumbok. Apa yang BOMBA boleh lakukan bila sampai ke tempat kejadian setelah 30 minit kebakaran berlaku? Jika sempat pun, pili BOMBA berfungsi kah? Jika tidak berfungsi, adakah sungai yang boleh dijadikan alternatif? Operasi memadam kebakaran sebenarnya tidak ada apabila BOMBA lewat datang ke tempat kejadian selepas 30 minit.

Majoriti penduduk di Menumbok adalah berumah papan. Jika rumah batu sekalipun, struktur papan mesti ada memandangkan tradisi yang sudah lumrah di kawasan ini. Dulu semasa saya bersekolah, heboh mengatakan satu balai BOMBA akan dibina bersebelahan tanah SMK Menumbok, semua penduduk berasa lega namun setelah 'berkurun lama', tiba-tiba balai itu di bina di Kuala Penyu pula. Bukan mahu mempertikai, tapi kerajaan harus memikirkan rasional untuk mewujudkan satu Mini Balai BOMBA di Menumbok. Rasionalnya selain faktor jarak yang jauh, pembinaan jambatan Menumbok - WP Labuan kelak akan meningkatkan sosio ekonomi setempat dan pastinya pembinaan taman perumahan atau rumah baru tumbuh bak cendawan. Faktor pertambahan kenderaan kelak akan meningkatkan risiko kemalangan jalan raya dan ini juga memerlukan perhatian daripada pihak Jabatan BOMBA dan Penyelamat.

Mungkin ramai yang tidak nampak keperluan wujudnya Mini Balai BOMBA di Menumbok kerana alasan standard "sudah ada balai BOMBA di Kuala Penyu". Jika diusulkan cadangan ini kepada pemimpin politik pun, jawapan pasti sudah dijangka iaitu negatif. Namun sebagai pemimpin, memberi alasan bukanlah satu sikap yang baik kerana kalau terlalu sibuk memberi alasan, apa guna title "WAKIL RAKYAT" yang dipegang. Suara rakyat harus didahulukan tambah-tambah lagi YAB Perdana Menteri ketika ini amat mementingkan kebajikan rakyat. Jika sudah banyak memberi alasan, eloklah berundur diri dan berilah peluang kepada orang lain yang mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik. Inilah senario masa kini sebenarnya.

Besar harapan orang Menumbok terhadap isu ini. Kalau sekadar memberi sumbangan 1 kampit beras, 1 kg minyak dan duit rm200 untuk mangsa kebakaran, apalah itu semua. TAK ADA MAKNA. Eloklah mencegah lebih baik daripada merawat. Saya percaya kerajaan sekarang akan sanggup berbelanja jutaan ringgit daripada melihat rakyat kehilangan harta ratusan ribu ringgit. Fikirkan....... penuhilah makna " 1 MALAYSIA, RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN".

2 comments:

Adisaputra said...

Jgn perjudikan soal keselamatan. saya sokong untuk diadakan satu balai bomba di menumbok kerana kawasan ini luas dan balai bomba terdekat adalah di kuala penyu yang memakan 40 minit lebih perjalanan

padj_atiez@q.com said...

Tanggal 1 Ogos 2011, disaat umat Islam baru memulakan ibadah puasa masyarakat Menumbok telah dikejutkan dengan satu lagi kebakaran di Kg Sekalong Menumbok dan telah memusnahkan 3 buah rumah. Apa yang ingin dikongsikan di sini ialah, kelewatan pasukan bomba tiba telah menyebabkan 3 buah rumah tersebut hangus semua sekali. Mujurlah penduduk kampung bertungkus lumus memadamkan api. jika tidak, tentu sahaja api akan menjilat rumah-rumah yang lain. Apa yang dikesalkan, pihak bomba datang setelah api terpadam... SUDAH TERLAMBAT... Justeru, sudah tiba masanya, pekan Menumbok ini mempunyai setidak-tidaknya Balai Bomba Mini sendiri...