Saturday, May 23, 2009

MB PERAK : DR ZAMBRY MENANG


Penanti dah nak selesai, pasni Manek Urai pula.


Mahkamah Rayuan telah memutuskan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir disahkan sebagai Menteri Besar Perak. Akhirnya permainan kali ini memihak kepada Dr Zambry walaupun Datuk Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin pasti tidak berhasrat untuk menyerah kalah begitu sahaja. Setelah keputusan diumumkan, Nizar awal-awal lagi menyatakan akan membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan untuk menentukan nasib seterusnya.

Itulah hakikatnya. Pihak yang menang akan bersorak manakala pihak yang kalah akan mencari jalan lain hingga apa yang dihasratkan menjadi kenyataan. Baru-baru ini juga Nizar dengan rela hati mahu bertemu YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak untuk membincangkan kemelut di Perak. Bagi saya, itu satu tindakan yang bijak tapi sayangnya terlewat. Bayangkan jika Nizar bertindak begitu semasa mula-mula dahulu. Pasti Najib dan kerajaan BN akan berlembut dan kesepakatan untuk membubarkan DUN Perak mungkin terjadi. Siapa tahu...itu hakikatnya jika berbincang, tapi jika berbalah, hasilnya dapat dilihat pada masa ini. Nizar kena ingat, yang berkuasa selalu ada kelebihan dan mempunyai strategi yang cukup ampuh.

Dengan keputusan Mahkamah itu, BN hampir pasti mentadbir kerajaan Perak hingga Pilihanraya Umum ke 13 kelak. Apapun Nizar dan Pakatan Rakyat (PR) kenalah bersabar jika mahu berkuasa. Itu pun jika PR masih mendapatkan sokongan rakyat Perak. Datuk Dr Zambry sekarang dilihat 'hero filem hindustan' kerana sedikit demi sedikit beliau berjaya meyakinkan dan menambat hati rakyat. Saya secara peribadi pernah bertemu beliau semasa beliau menyampaikan ceramah kenegaraan di UiTM Johor pada tahun 2004. Beliau pada masa ini adalah Exco Pemuda UMNO. Dan dari gaya penyampaian pidato dan bijaknya beliau merencanakan sesuatu isu, hati saya bedetik beliau adalah bakal pemimpin negara pada masa akan datang dan ternyata ianya menjadi kenyataan sekarang.

Untuk PR dan BN, sudah-sudahlah berkemelut, politik yang berpanjangan adalah tidak sihat dan tidak mendatangkan apa-apa hasil. Yang menjadi mangsa adalah rakyat. Kestabilan ekonomi Perak juga akan terjejas dan tidak mustahil pelancong dalam mahupun luar negara tidak menggemari melawat Perak buat masa ini selagi kemelut ini tidak diselesaikan. PR bersabarlah, satu lagi gelanggang Pilihanraya Kecil (PRK) di Manek Urai, Kelantan akan dibuka dan awal-awal juga BN sudah berkata mereka akan bertanding. Pilihanraya lagi..................

Friday, May 22, 2009

PENANTI : APABILA PENDEKAR BERKATA TIDAK


Pertarungan Dr Mansur Osman menentang BN tidak kesampaian.


Segalanya sudah terjawab. Barisan Nasional tidak akan bertanding Pilihanraya Kecil (PRK) DUN Penanti. Itulah pengumuman yang disampaikan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak selepas mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN. Apa yang pasti, pro dan kontra terhadap keputusan itu terdengar di sana sini. Bagi penyokong aspirasi kerajaan, mereka menyambut baik keputusan ini tetapi bagi pembangkang, pasti isu ini akan dijadikan lauk paling 'mewah' mereka untuk terus menghentam kerajaan dan Najib.

Alasan yang diberikan mudah, PRK ini adalah tidak menepati kehendak perlembagaan dan ianya bertujuan untuk menyelesaikan kemelut dalaman parti pembangkang khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR). Ketegasan Najib dan BN ini merupakan sesuatu yang luar biasa. Kebiasaannya apabila PRK, BN akan bersiap sedia semenjak berita satu-satu PRK akan diadakan lagi. Tapi kali ini berbeza, bayangkan sahaja PRK Penanti adalah topik paling 'tidak popular' pemimpin BN dan jentera pilihanraya PRK Penanti seolah-olah 'digantung' memandangkan tiada ketetapan yang dibuat. Mesti ada sesuatu yang tidak kena?! itulah ungkapan sahabat saya ketika membahaskan isu ini.

Umpama seorang Pendekar yang tidak mahu masuk ke gelanggang pertarungan, pasti bersebab. Mungking gelanggang pertarungan itu penuh tipu muslihat? Mungkin di atas lantai ataupun tanah gelanggang itu sudah ditanam sesuatu yang boleh mencederakan sang pendekar? Sebagai pendekar, naluri dan firasat yang bersandarkan kebenaran sentiasa berada di hati. Harus diingat, apabila gelanggang dibuka, tidak semestinya pertarungan berlaku. Itulah yang terjadi sebenarnya.

BN secara halus sebenarnya mahu PKR berfikir bahawa PRK bukan bahan mainan. Persoalan takut kalah juga bukanlah satu yang dominan dalam hal ini. Para penganalisis lebih optimis bahawa BN tidak bertanding disebabkan faktor mahu menumpukan kepada usaha menambat hati rakyat secara berhemah, iaitu tidak melalui pilihanraya dan menabur janji semata-mata. Lebih baik sentiasa turun padang sepanjang masa daripada hanya pada musim pilihanraya. Itu yang cuba diterapkan Najib dalam saf kepimpinannya masa ini. Faktor kelembaban ekonomi dunia serta mahu mengelakkan konflik dalam insiden politik juga diambil kira. Sudah-sudahlah, lihat negeri Perak, apa sudah jadi sekarang.

Sahabat saya ada menyatakan, sepatutnya BN harus juga bertanding di Penanti kerana pengundi Penanti yang menyokong BN pasti rasa diabaikan. Tindakan BN ini seolah-olah menghukum penduduk Penanti yang mungkin akan memberi sokongan pada BN. BN juga boleh menjadikan PRK Penanti sebagai 'bahan ujikaji' mereka untuk mengetahui samada rakyat memberi respon yang baik terhadap perubahan dasar dan konsep kerajaan baru ini. Itu pendapat peribadi sahabat saya, terpulang kepada penilain anda samada ianya rasional atau sebaliknya. Sekian, Wassalam.

Thursday, May 21, 2009

WUJUDKAN MINI BALAI BOMBA DI MENUMBOK


Kebakaran : Isu yang dibimbangi penduduk Menumbok.


2 hari lalu, Pekan Menumbok dikejutkan dengan satu kebakaran rumah seorang penduduk di Kampung Darat. Habis semuanya terbakar tanpa sempat menyelamatkan harta benda memandangkan difahamkan pemilik rumah tidak berada di rumah semasa kejadian. Ini merupakan kebakaran yang ntah kali ke berapa di daerah kecil ini. Tapi bukan itu isu yang ingin saya sampaikan di sini. Melihat kepada susur galur dan sinopsis cerita, setiap kali kebakaran adalah sama iaitu BOMBA hanya akan sampai bila rumah tersebut sudah 'langsai' di jilat api, paling tidak pun 30 minit setelah kebakaran. Kerja anggota BOMBA hanya menyiasat punca kebakaran tanpa perlu memancutkan air untuk memadamkan kebakaran.

Isu ini sudah lama dan lapuk sebenarnya. Pada tahun 2001, Balai Polis Menumbok telah mengalami kebakaran dan ceritanya tetap sama, BOMBA datang setelah musnah semuanya. Benar, satu Ibu Pejabat Balai BOMBA telah dibina di Kuala Penyu dan telah beroperasi tapi apa ada pada balai BOMBA jika jaraknya terlalu jauh dari Menumbok. Apa yang BOMBA boleh lakukan bila sampai ke tempat kejadian setelah 30 minit kebakaran berlaku? Jika sempat pun, pili BOMBA berfungsi kah? Jika tidak berfungsi, adakah sungai yang boleh dijadikan alternatif? Operasi memadam kebakaran sebenarnya tidak ada apabila BOMBA lewat datang ke tempat kejadian selepas 30 minit.

Majoriti penduduk di Menumbok adalah berumah papan. Jika rumah batu sekalipun, struktur papan mesti ada memandangkan tradisi yang sudah lumrah di kawasan ini. Dulu semasa saya bersekolah, heboh mengatakan satu balai BOMBA akan dibina bersebelahan tanah SMK Menumbok, semua penduduk berasa lega namun setelah 'berkurun lama', tiba-tiba balai itu di bina di Kuala Penyu pula. Bukan mahu mempertikai, tapi kerajaan harus memikirkan rasional untuk mewujudkan satu Mini Balai BOMBA di Menumbok. Rasionalnya selain faktor jarak yang jauh, pembinaan jambatan Menumbok - WP Labuan kelak akan meningkatkan sosio ekonomi setempat dan pastinya pembinaan taman perumahan atau rumah baru tumbuh bak cendawan. Faktor pertambahan kenderaan kelak akan meningkatkan risiko kemalangan jalan raya dan ini juga memerlukan perhatian daripada pihak Jabatan BOMBA dan Penyelamat.

Mungkin ramai yang tidak nampak keperluan wujudnya Mini Balai BOMBA di Menumbok kerana alasan standard "sudah ada balai BOMBA di Kuala Penyu". Jika diusulkan cadangan ini kepada pemimpin politik pun, jawapan pasti sudah dijangka iaitu negatif. Namun sebagai pemimpin, memberi alasan bukanlah satu sikap yang baik kerana kalau terlalu sibuk memberi alasan, apa guna title "WAKIL RAKYAT" yang dipegang. Suara rakyat harus didahulukan tambah-tambah lagi YAB Perdana Menteri ketika ini amat mementingkan kebajikan rakyat. Jika sudah banyak memberi alasan, eloklah berundur diri dan berilah peluang kepada orang lain yang mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik. Inilah senario masa kini sebenarnya.

Besar harapan orang Menumbok terhadap isu ini. Kalau sekadar memberi sumbangan 1 kampit beras, 1 kg minyak dan duit rm200 untuk mangsa kebakaran, apalah itu semua. TAK ADA MAKNA. Eloklah mencegah lebih baik daripada merawat. Saya percaya kerajaan sekarang akan sanggup berbelanja jutaan ringgit daripada melihat rakyat kehilangan harta ratusan ribu ringgit. Fikirkan....... penuhilah makna " 1 MALAYSIA, RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN".

Tuesday, May 12, 2009

PERMAINAN CATUR DI PERAK : "CHECKMATE" YANG DI "CHECKMATE"


Catur Perak : Datuk Seri Nizar Vs Datuk Seri Dr Zambry


Macam-macam! Itulah perkataan yang paling sesuai apabila memperkatakan situasi di Perak. Ibarat permainan catur, strategi dan mengatur langkah untuk melakukan 'checkmate' kepada pihak lawan saling bertukar-tukar. Begitulah permainan politik antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR). Dua hari lepas, PR berjaya 'checkmate' BN apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan YB Datuk Seri Ir Muhammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah. Tapi itu hanya bertahan selama 19 jam, BN berjaya kembali 'checkmate' PR apabila Mahkamah sama membenarkan permohonan YB Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir untuk menangguhkan perlaksanaan keputusan mahkamah sehinggalah proses rayuan selesai. Dalam masa dua hari, pejabat MB di bangunan Perak Darul Rizdhuan menerima kehadiran Menteri Besar ini berselang-seli antara Datuk Seri Nizar dan Datuk Seri Dr Zambry. Lucunya!!!

Itulah nasib rakyat Perak. Pertama kali dalam sejarah satu negeri mempunyai 2 Menteri Besar, 2 Barisan Exco, 2 Speaker, Persidangan DUN yang saling membatalkan satu sama lain dan kekeliruan ini menyebabkan rakyat menjadi mangsa. Tragedi persidangan DUN bawah pokok yang selama ini hanya kita boleh lihat melalui filem Do Re Me menerusi kerajaan Pasir Berdengung, menjadi realiti di Perak. Insiden Speaker DUN enggan berganjak dari kerusinya hingga terpaksa di usung keluar serta kekecohan Sidang DUN sehingga berdiri di atas meja dan baling-membaling objek juga ada di Perak. Seorang Menteri Besar mohon sembah derhaka kepada perintah Sultan Perak dan pemecatan Setiausaha Kerajaan Negeri yang dilantik kerajaan persekutuan juga ada di Perak. Pendek kata 'Semua Ada'.

Apa yang terjadi sebenarnya. Pada pendapat peribadi saya tanpa menyebelahi mana-mana pihak, jalan terbaik ialah membubarkan DUN Perak dan menyerahkan kembali kuasa rakyat untuk memilih kerajaan yang mereka mahukan. Itu lebih adil untuk rakyat. BN tidak perlu takut untuk menghadapi pilihanraya itu kerana walaupun dalam siri pilihanraya kecil (PRK) BN seringkali tewas, itu bukan boleh dijadikan alasan kerana situasi PRK dengan pilihanraya umum negeri adalah amat berbeza. Harus diingat, BN ditewas di PRK hampir semua kerana bertanding di kerusi sememangnya milik pembangkang kecuali di Kuala Terengganu. Dengan pentadbiran baru YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak serta angin perubahan yang semakin bertiup kencang, tidak mustahil BN dapat memerintah Perak dengan stabil, aman dan damai.

Untuk PR, peluang mereka untuk berkuasa di Perak memang ada. Sebab itu mereka beria-ia untuk membubarkan DUN Perak. Tapi jangan salah langkah kerana sikap terlalu 'over confident' boleh membuatkan PR menggigit jari. BN yang ada sekarang dan persepsi rakyat terhadap PR tidak sama seperti setahun yang lepas. Pelbagai tragedi sudah berlaku dan kebanyakkan melibatkan pemimpin PR dan ini telah sedikit sebanyak mengubah persepsi rakyat terhadap mereka. Apapun BN perlu bekerja keras andainya mahu berkuasa di Perak. Kekalahan di Parlimen Bukit Gantang merupakan tamparan maha hebat kepada BN namun ianya tidak boleh digambarkan sebagai keputusan keseluruhan rakyat Perak. Secara rasionalnya, jika BN menang di Bukit Gantang, tidak mustahil BN akan berani membubarkan DUN Perak pada ketika ini.

Kemelut di Perak lebih teruk jika dibandingkan dengan tumbangnya kerajaan PBS di Sabah pada tahun 1994. Pada masa itu, YB Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan dengan rela hati menyerahkan tampuk kekuasaan kepada YB Tun Sakaran Dandai sebagai Ketua Menteri Sabah yang baru. Tidak ada pula kekecohan mahupun tindakan mahkamah yang di ambil kerana Datuk Seri Joseph terpaksa akur dengan kemahuan rakyat akar umbi secara keseluruhannya. Apa yang seterusnya terjadi di Perak, sama-sama kita nantikan...

Monday, May 4, 2009

KONSEP 1 MALAYSIA SUDAH LAMA BERTAPAK DI SABAH


Konsep 1 Malaysia Pemangkin Keharmonian Perhubungan Kaum


Apabila YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak menyatakan negeri Sabah adalah perintis kepada Konsep 1 Malaysia, semamangnya semua rakyat Sabah mengangguk dan berbangga. Bukan kerana riak atau bermegah-megah, tapi kerana itu adalah realitinya dan kebenaranya. Kenapa? sebentar lagi saya akan huraikan. Pada mereka yang belum pernah datang ke Sabah, mungkin bayangan masih kabur umpama siaran Tv Astro yang terganggu apabila waktu hujan. Saya juga tidak terkejut jika ada yang masih ragu-ragu dengan kenyataan Perdana Menteri tersebut.

Sabah, negeri kedua terbesar di Malaysia mempunyai 48 etnik yang hidup dalam pelbagai ruang lingkup di segenap tanah Sabah. Antara etnik yang ada di negeri ini ialah Kadazan, Murut, Dusun, Bajau, Brunei, Bisaya, Sungai, Iranun, Rungus, Kedayan, Cina, India dan sebagainya. Sungguhpun pelbagai dialek etnik dan sukuan dituturkan, nama Bahasa Malaysia (Bahasa Kebangsaaan) adalah mudah dituturkan dengan lancar walaupun dalam slanga Sabah. Malah jangan terkejut bila kaum Cina dan India begitu fasih berbahasa etnik di sini. Contohnya di penempatan masyarakat Melayu Brunei, orang cina begitu fasih bertutur bahasa Brunei. Saya pernah membawa sahabat saya dari kaum Dusun dan beliau tidak percaya orang Cina di sini tidak menggunakan bahasa Cina apabila berinteraksi sesama mereka, tapi berbahasa Brunei! Malah tidak keterlaluan jika dikatakan agak sukar menentukan siapa berbangsa Cina apabila mereka bercampur dengan masyarakat lain. Itu belum lagi di kawasan lain, banyak lagi ceritanya.

Di restoran, di kedai kopi, orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Murut mahupun beragama Islam, Kristian, Hindu semuanya boleh duduk dalam satu meja. Berbual-bual, berbincang mengenai hal semasa. Tidak pernah timbul keraguan ataupun kerisauan apabila duduk bersama. Topik yang dibincangkan pula merangkumi semua tanpa perlu melakukan 'hidden' kepada mana-mana topik. Bukan seperti di tempat lain, sekadar duduk apabila ada urusan bisnes ataupun formal sahaja. Itulah negeri Sabah. Sahabat saya dari semenanjung pernah bertanya, kenapa ada banyak kad jemputan kahwin orang cina di rumah saya. Saya kata orang di sini kalau ada majlis perkahwinan, semua jemput. Tiada yang terkecuali. Begitu juga jika ada kematian. Tiada batasan selagi ianya tidak menyalahi hukum agama. Keharmonian dan perpaduan telah sebati dalam diri dan ianya tidak pernah dipertikaikan.

Kalau ada yang tidak percaya, ada kaum Cina menjadi ahli UMNO. Ini ketara berlaku semasa zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri. keyakinan kaum-kaum lain terhadap UMNO begitu kuat hingga tidak menganggap UMNO sebagai parti untuk orang Melayu sahaja. Dari aspek politikpun, jika diteliti, Parti Bersatu Sabah (PBS) pimpinan YB Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan di anggotai semua kaum yang ada di negeri ini. Walaupun wujud parti berasaskan kaum di Sabah seperti UPKO (Kadazan Dusun Murut), LDP (Cina), PBRS (Kadazan Murut) dan SAPP (Cina) tapi ia sedikitpun tidak pernah mengganggu ketenteraman dalam perhubungan kaum.

Apa yang merisaukan sebenarnya ialah kebanjiran Pendatang Tanpa Izin (PTI) di negeri ini. PTI inilah sebenarnya yang banyak 'mengganggu' keharmonian hidup negeri ini. Kadar kes jenayah, dadah dan rompakan kebanyakkan adalah didalangi PTI dari Indonesia dan Filipina. Faktor geografi Sabah yang luas dan terdedah, menyukarkan usaha mengekang masalah ini secara tuntas.

Terima kasih kepada Datuk Seri Najib kerana pengikhtirafannya kepada negeri Sabah. Ini adalah satu kesinambungan kepada keharmonian hidup dan pehubungan kaum yang mantap. Isu perkauman jarang sekali berkumandang di Sabah, tidak pernah parti politik bertelagah dan bertikam lidah mengenai hubungan kaum di Sabah. Itulah istimewanya negeri Sabah. Negeri Di Bawah Bayu.


Thursday, April 30, 2009

BOLA SEPAK : BILA AGAKNYA MALAYSIA BERGELAR JAGUH?


Bila dikatakan Malaysia mampu layak ke Piala Dunia 2016, ramai yang tergelak besar. Kenapa agaknya?


Bola Sepak. Emm kalau diikutkan sukan ini adalah sukan nombor satu di Malaysia tapi malangnya sukan ini juga sudah banyak kali memalukan Malaysia. Ramai yang tidak membantah apabila bekas jurulatih Malaysia, B.Sathianathan menyatakan "Liga Malaysia bukanlah bola sepak sebenar" sebaik sahaja tamat perlawanan kelayakan Piala Asia dengan keputusan yang sudah menjadi kebiasaan apabila bertemu pasukan gagah, tewas 0-5 kepada UAE. Pada ketika itu juga, buat sekian kalinya para penyokong negara sudah kehilangan sabar dan mengadakan 'tunjuk perasaan' di luar stadium. Insiden jurulatih UAE dibaling botol air mineral ketika bersalaman dengan Sathianathan juga amat memualkan untuk ditonton.

Apakan daya, jangan salahkan penyokong kerana mereka sudah puas sebenarnya dihidangkan dengan aksi longlai, lemah, lemas dan 'hancur'. Apabila bertemu pasukan 'kuat sedikit' dari Malaysia, tidak keterlaluan 90% rakyat Malaysia beranggapan Malaysia akan tewas. Mereka datang ke stadium adalah untuk melihat keajaiban berlaku, tapi malangnya balik-balik mereka mendapat keaiban pula. Sedangkan gunung berapi yang bertahun-tahun memendam laharnya pun boleh meletus, inikan pula manusia.

Kejayaan menjuarai Pesta Bola Merdeka dua tahun lalu mungkin sedikit membanggakan. Tapi perkara yang tidak 'best' ialah apabila pasukan yang dijemput dalam kejohanan itu adalah pasukan 'kerdil' dan 'picisan'. Pendek kata senang Malaysia mau kalahkan. Apa rasional kita menjemput pasukan begini. Kata orang jika mau pandai berkawan dan belajarlah dengan kawan yang pandai. Baru kita tahu rahsia kelemahan dan kekuatan kita. Kenapa tidak berani menjemput pasukan pada kekuatan sederhana seperti New Zealand, Uzbekistan, Thailand, Finland, Ireland Utara dan lain-lain lagi. Ni buat perlawanan persahabatan pun dengan Maldives dan pasukan kelab ntah apa-apa dari negara yang tidak ternama. Bila lah agaknya nak maju jika begitulah keadaannya.

Malaysia juga sering dilihat kurang menyertai pertandingan antarabangsa. Apa salahnya 'mengusung', 'mengepos',' mengcall', 'mengfaks' dan segala 'meng' utusan kepada mana-mana negara yang akan menganjurkan mana-mana kejohanan. Biar kita hidung tak mancung, pipi tersorong2 yang penting kita dapat menyertai kejohanan dan bertemu dengan negara-negara yang boleh menunjukkan aras sejauh mana kekuatan kita. Persetankan alasan Liga M akan terjejas. Itu alasan lapuk lagi berhabuk. Liga M pun FAM yang urus, bukan badan lain. Usahlah memberi banyak alasan kerana orang yang banyak memberi alasan adalah orang yang tidak berwawasan.

Perlantikan K.Rajagobal sebagai jurulatih baru Malaysia juga tidak ramai yang mengalu-alukan. Tinjauan dan undian yang dilakukan oleh sebuah stesen TV swasta mengenai perkhabaran itu menunjukkan indeks yang tidak memeranjatkan. Dalam 'poll' itu, 90% rakyat Malaysia berkata bola sepak Malaysia 'tidak akan ke mana' di bawah K.Rajagobal. Mungkin 10% itu orang tersalah send sms atau jawapan mereka 'saya tidak tahu'. Bukan menidakkan kemampuan K.Rajagobal yang sememangnya bagus di peringkat domestik, tapi apalah salahnya melantik jurulatih asing bagi menguatkan pasukan kebangsaan. Jika Alan Harris dan Bertalan Bisckei diberi lebih banyak masa dan ruang dahulu, tidak mustahil Malaysia sekaranga adalah pasukan terbaik sekurangnya di peringat Asia Tenggara. Melihat persembahan permainan Malaysia pada masa itu memang memberi harapan. Tapi malang, gara-gara kalah besar satu perlawanan, habis semuanya disingkirkan. Itulah tradisi bolasepak Malaysia. Kenapa tidak membuka mata bagaimana Sir Alex Ferguson hampir dua dekat melatih Manchester United dan hasilnya tidak perlulah saya bercerita. Begitu juga dengan Arsene Wenger yang memimpin Arsenal.

Ranking terbaru menunjukkan Malaysia berada di tangga ke 161, di atas Malaysia ada Myanmar (159), dan dua buah negara yang mana WP Labuan lebih besar iaitu St Kitts & Nevis (151) dan St. Vincent (153). Di tangga 162 adalah Filipina, negara belasahan Malaysia suatu ketika dahulu. Hatta Palestin (171), negara yang tidak pernah aman dan berlatih di negara luar, pun bila-bila masa sahaja memintas Malaysia. Itulah realiti bolasepak Malaysia. Tiada yang istimewa untuk dibanggakan. Hanya kisah silam pernah layak ke Sukan Olimpik dan pentas Piala Asia sering dikitar semula dan diulang tayang sampai orang lebih mengenali siapa Mokthar Dahari, Soh Chin Aun, Hassan Sani, Zainal Abidn Hassan berbanding Amri Yahya, Syamsuri Mustapha, Indra Putra dan sebagainya. Pernah dalam program bual bicara apabila ditanyakan Amri Yahya adalah seorang atlit angkat berat, penonton tersebut tanpa rasa bersalah dan yakinnya berkata ya. Itulah nasib pemain Malaysia.

Alahai nasib bolasepak Malaysia. Nasib-nasib. Bagai pungguk rindukan bulan, begitu penantian rakyat Malaysia.


Wednesday, April 29, 2009

PENANTI : KEYAKINAN PKR vs PENANTIAN BN


Najib Vs Anwar : Penantian di Penanti


Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah mengumumkan calonnya semalam. Penasihat Umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) menamakan Dr Mansor Osman sebagai calon Penanti dan laluan permaidani merah menuju ke Pejabat Timbalan Ketua Menteri I juga terjamin. Agak pelik juga kerana PKR membuat pengumuman awal berbanding BN. Biasanya sehari sebelum hari penamaan calon barulah pembangkang umum calon. Fenomena ini mungkin disebabkan isu ini begitu panas dan 'terkenal' bermula dengan pengunduran secara 'pelik' Muhammad Fairus Khairuddin, penarikan balik kes rasuhnya oleh SPRM dan kelewatan Ketua Menteri P.Pinang, Lim Guan Eng mengumumkan pengganti Fairus gara-gara DSAI 'main tarik tali' untuk memberikan jawapan.

Tidak apalah. Itu urusan dan hal Pilihanraya Kecil (PKR) dan kerajaan Pulau Pinang. Bagaimana pula di pihak BN? Kenyataan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak (DSNR) yang menjangkakan BN tidak meletak calon mendapat pro dan kontra. Rata-rata pemimpin komponen secara 'peribadi' mahu BN letak calon dan diakhir kata mereka 'menyokong apa-apa saja keputusan BN'. Saya yakin dan pasti kenyataan DSNR itu bukan disebabkan faktor takut kalah. Kalau takut kalah masa PRK Permatang Pauh pun dan lama BN cabut. Banyak faktor yang menyumbang ke arah tersebut. DSNR sebenarnya mahu menguji pemimpin BN samada mereka ini adalah 'Pak Turut', 'Pak Angguk', 'Pak Ampu' atau 'Pak Pandir'. Test power yang dilakukan DSNR cukup berkesan dan ianya dapat dilihat.

PRK Penanti sebenarnya pilihanraya buatan Pembangkang. Maksudnya pilihanraya yang disengajakan. Ini juga bermakna PRK ini akan membazirkan duit rakyat dengan sengaja. Untuk memenuhi tuntutan pihak tertentu, PRK ini wujud. Seharusnya DSNR mengambil faktor ini dan beliau selaku Menteri Kewangan pasti lebih tahu akan implikasi kewangan yang terpaksa dibelanjakan untuk PRK yang ntah apa-apa nie.

Buat kerja bukan sibuk politik!!!..itu adalah statement yang dikeluarkan oleh semua pemimpin tertinggi BN. Dah setahun lebih berlalu Pilihanraya Umum (PRU), takkan tak puas-puas lagi berpolitik. Ini ditambah lagi dengan 5 PRK sebelum ini. Negara kita begitu sibuk dengan politik. Bila masa agaknya mau bekerja membela nasib rakyat? Bila masa mau turun padang melawat rakyat yang diwakili? Bila masa nak 'membelai mesra' rakyat yang memerlukan. Mahu tunggu PRU 13 baru mau buat, alamatlah melingkup. Sedar atau tidak Malaysia sudah 'kurang' dipandang selamat dari segi kestabilan politik dan keharmonian gara-gara terlalu banyak berpolitik. Berbeza dengan tahun-tahun terdahulu (kecuali 1998-1999), tahun yang penuh kemakmuran.

Bagi saya, BN harus berubah. Bukan bercakap untuk mengambil hati orang muda dan pengundi atas pagar sahaja tapi tiada usaha yang dibuat. Untuk itu, BN patut meletakkan calon orang muda. Janganlah pilih calon yang 'elit' atau datang dari keluarga berada. Kenapa BN tidak memilih calon dari kalangan keluarga petani, nelayan dan orang kampung? Dunia sudah berubah. Hanya orang kampung tahu dan cara menyelesaikan masalah orang kampung. Hanya orang susah tahu bagaimana 'susahnya' hidup susah. Imej Pemuda UMNO ang dilihat elit lagi 'grand' menyebabkan orang muda menjauhi mereka dan lebih berminat dengan calon pembangkang yang dilihat 'low profile' dan 'bersedia bersama mereka'. Soal ideologi tidak lagi menjadi keutamaan orang muda kerana apa yang lebih penting ialah siapa yang lebih prihatin dengan masalah orang muda.

Kenyataan Datuk Mukhriz Tun Mahathir yang BN akan melakukan 'pendekatan luar biasa' dalam PRK Penanti cukup baik dan rakyat mahu melihat apa yang luar biasa itu. Projek 'instant', 'mee segera' dan 'ekspress' patut dihentikan. Tak payahlah umum itu ini, rasmi itu ini, cakap itu ini. Yang penting pendekatan mengambil hati harus dicekapkan lagi. Terlalu banyak sebenarnya yang perlu dilakukan BN untuk terus mendapatkan kepercayaan rakyat. Kedudukan sekarang BN ketinggalan 1-4 dalam PRK. Rakyat Penanti akan membuat perhitungan samada kedudukan akan menjadi 2-4 atau 1-5. Good Luck rakyat Penanti.

Tuesday, April 28, 2009

SIAPA BENAR, TUAH ATAU JEBAT?


Hang Tuah & Hang Jebat, Ketegasan & Pendirian Menjadi Sempadan.


Hang Tuah, nama yang begitu sinonim sekali dengan dunia kepahlawanan Melayu. Jika disebut sahaja, rata-rata daripada kita sememangnya tahu siapa Hang Tuah. Jika ada yang 'berhajat' untuk menatap Hang Tuah, satu replika 'Hang Tuah' ada ditempatkan di Muzium Samudera di tengah Bandar Melaka. Jika itu replika itu sememangnya itulah 'Hang Tuah', saya memang 'respek' Hang Tuah kerana melihat saja memang nampak kegagahan dan kepahlawanan menerusi gaya dan bentuk badannya.

Sebagai mengabdikan kepahlawanan Hang Tuah, beberapa buah filem Hang Tuah telah diterbitkan. Ianya diterbitkan dalam pelbagai versi dan versi yang paling popular adalah Hang Tuah filem versi lakonan dan arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Filem ini memaparkan Hang Tuah adalah pahlawan termasyur dan boleh dikatakan 'sempurna' dari segala segi, dikurniakan kehandalan, kebijaksanaan, ketampanan dan disayangi. Kepada mereka yang fanatik kepada Hang Tuah, beliau adalah tiada galang gantinya. Apapun, kemuncak filem ini ialah di saat Hang Jebat, sahabat karib Hang Tuah telah melakukan pemberontakan lantaran tidak berpuas hati dengan kezaliman Sultan Melaka yang menjatuhkan hukuman mati kepada Hang Tuah atas kesalahan berlaku curang dengan dayang Istana yang juga kekasihnya sewaktu menuntut ilmu di Gunung Ledang, Melur.

Filem ini sebenarnya biasa saja tapi 'moral of the story' filem ini memberi impak sehingga kini. Pada pandangan peribadi saya, pejuang sebenar adalah Hang jebat. Tidak menafikan 'pengikhtirafan' yang diberikan kepada Hang Tuah, Hang Jebat tidak harus diketepikan. Derhaka kah Hang Jebat kerana menentang pihak yang zalim? Salahkah Hang Jebat memperjuangkan nasib sahabatnya itu sedangkan di dalam agama sesiapa yang membiarkan kejahatan berlaku adalah bersubahat? Zalimkah Hang Jebat menghapuskan mereka-mereka yang zalim kepada manusia lain?

Hang Tuah. Pahlawan Melaka dan Melayu yang terbilang. Tapi pahlawankah dia kerana taksub dan membuta tuli menuruti titah Sultan hingga sanggup mengorbankan apa yang dia ada? Pahlawankah yang digelarkan kepada mereka-mereka yang tidak punya pendirian dan takut yang tidak bertempat? Menipu dan mengorbankan orang lain itukah sifat pahlawan? Tidak kah ada sedikit rasa berbangga dan berterima kasih kepada mereka-mereka yang memperjuangkan manusia yang teraniaya? Inilah persoalan yang perlu difikirkan semua orang, tepuk dada, tepuk minda dan fikirkan firasat anda.

Terdapat isu yang menarik sebenarnya disebalik kisah Hang Tuah ini. Dalam beberapa artikel yang pernah saya baca, ada yang mengatakan bukan Hang Tuah yang membunuh Hang Jebat lantaran tidak sampai hati membunuh sahabat karib sendiri. Hang Kasturi dikatakan menikam secara rambang dengan menutup matanya (bermaksud sesiapa yang tertikam Hang Kasturi tidak pasti) kerana sudah tidak sanggup melihat pergaduhan itu berlarutan. Terdapat juga artikel yang menyatakan Hang Jebat tertikam dirinya sendiri ketika cuba bergelut dikala Keris Taming Sari menjadi rebutannya bersama Tuah. Ada juga yang menyatakan Hang Jebat membunuh diri. Susah untuk manusia zaman kini mengesahkannya kerana ia berlaku beratus tahun dahulu. Hanya dengan bukti-bukti yang sedikit serta informasi secara turun temurun yang menjadi sandaran untuk mengetahui apakah sebenarnya yang berlaku di dalam Istana Melaka antara Tuah dan Jebat tersebut.

Iktibar yang paling jelas ialah berpada-padalah menjadi pemimpin, jangan terlalu riak dengan kuasa hingga kerana satu kesalahan, seribu budi yang dicurahkan hanya dipandang sebelah mata. Berpada-padalah menjadi pengikut, kerana akal fikiran sentiasa ada untuk membuka laluan dan menentukan bahawa pemimpin yang zalim patut di tentang, pemimpin yang amanah harus disanjung. Apapun secara peribadi, dalam kisah Hang Tuah ini, saya memberikan 'Man Of The Match' kepada Bendahara Melaka, Tun Perak kerana kebijaksanaan beliaulah sekurang-kurangnya telah menyelamatkan maruah seorang pahlawan Melayu yang tersohor dan berkarisma. Bayangkan jika Hang Tuah dibunuh, apa agaknya terjadi kepada Warsian Kesultanan Melayu masa kini? ........."Tak Kan Melayu Hilang Di Dunia'.......


Thursday, April 23, 2009

MASALAH BEKALAN AIR DI MENUMBOK ; ALAH BISA TEGAL BIASA


Air Oh Air, Di Mana Engkau Air..

Daerah Kecil Menumbok, kira-kira 60km dari Daerah Beaufort merupakan satu daerah kecil yang amat berpotensi untuk berkembang maju. Terletak di Daerah Kuala Penyu, namanya sahaja sudah mengusik kalbu jika mereka pertama kali mendengar nama tempat ini. Inilah kampung halamanku yang sentiasa bersanubari di dalam hati. Dalam suratkhabar News Sabah Times 21 April lepas telah keluar cerita masalah bekalan air yang tidak dirasakan di SMK Menumbok dan sekitarnya. SMK Menumbok adalah sekolahku dan di sekolah inilah aku berjaya sehingga aku menjadi seperti hari ini. Aku tidak terkejut bila seorang cikgu di SMK Menumbok yang aku hormati, Cikgu Abd Rahman mengemukakan masalah ini. Sudah terlalu lama sebenarnya 'rakyat' di Menumbok diseksa dengan masalah air. Sudah-sudahlah, tinggal 11 tahun lagi Malaysia mencapai status negara maju, tapi masalah ini seperti tidak pernah dipedulikan.

YB? YB silih berganti, DUN Kuala Penyu pernah 'menghukum' YB BN yang ketika itu sudah menjawat Timbalan Ketua Menteri/Menteri penuh kerajaan negeri dek kerana masalah yang ada tidak pernah selesai. DUN Kuala Penyu juga pernah memberi peluang kepada 'YB Bebas' untuk menguruskan masalah di kawasan ini, dan sekarang YB BN kembali berkuasa dan hasilnya tetap sama 'tiada perkembangan'. YB Parlimen pun tidak kurangnya. Cakap sana, cakap sini, umum peruntukan sana, umum peruntukan sini, tapi habuk pun tadak!!! jadi mana silapnya? jika di Amerika, Gabenor (Panggilan untuk YB bertaraf Parlimen di USA) pasti sudah melepaskan jawatan jika tidak berjaya menyelesaikan masalah yang sudah bertahun-tahun lamanya. Malah Gabenor Carlifornia, sapa tidak kenal bekas aktres 'Arnold' yang menjadi Gabenor pernah berkata beliau rela ditembak jika gagal menyelesaikan masalah rakyat.

Masalah air di Menumbok cukup serius. Jika tiada telaga, tidak mustahil ada yang hari2 mandi laut sampai rambut jadi kuning. Fenomena bila ada 'Menteri' datang, baru air paip akan ada sudah sinonim di sini. YB balik, air pun OFF. Jika ada pun 2-3 HARI ja, lepas tu 2-3 BULAN tiada air paip. Air tangki sampai mana dapat bertahan, jika hujan pun tak kunjung tiba, mana lagi orang Menumbok mau berharap. Sudah-sudahlah menyeksa jiwa penduduk di sini. Anak-anak yang belajar di SMK Menumbok pun tidak selesa tidak ada air. Yang di asrama di mana mau dapat air. Ada yang beli air mineral untuk mandi. tidak kah para YB kesian mereka? SMK Menumbok bukan tidak pernah mengharumkan daerah Kuala Penyu, dah banyak kali tapi pelajarnya terus terseksa sejak sekolah ini dibuka lagi.

Itu cerita air, belum lagi cerita letrik. Selalu terputus. Ntah apa-apa lah nasib kawasan sini. Mujur orang Menumbok belum pernah "menumbuk YB". Jangan sampai jadi begitu. Fikir-fikirlah sendiri. Bak kata Bintang Paling Popular Berita Harian, NABIL..."LU FIKIRLAH SENDIRI". Jika kalah dalam Pilihanraya nanti, BN/UMNO tak payah buat post moterm kerana masalah sudah didepan mata, nyata dan realiti. Pilihanraya bukan program realiti yang boleh di 'adjust', tapi keputusan adalah abadi, muktamad lagi hakiki.



Hampir 600 Pelajar & Guru Terjejas Teruk Kerana Terputus Bekalan Air
21st April, 2009 (News Sabah Times)

MENUMBOK: Hampir 600 pelajar dan guru dan SMK Menumbok Mempakul terjejas teruk ekoran terputus bekalan air ke sekolah tersebut sejak beberapa bulan yang lepas. Seorang guru Abdul Rahman Taip, berkata masalah itu lebih kritikal dirasakan oleh 200 orang pelajar yang tinggal di asrama yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan air bagi keperluan seharian terutama-nya untuk keperluan mandi dan juga keperluan memasak.

“Bekalan air ke kawasan SMK Menumbok termasuk kampung Mempakul dan persekitarannya agak kritikal sejak beberapa bulan yang lepas dimana ianya menjejaskan kehidupan pelajar di sekolah ini termasuklah masyarakat di persekitarannya,” katanya ketika ditemui di sini, pagi kelmarin. Menurut Rahman yang juga Ahli Jawatankuasa Pemuda Umno bahagian Beaufort sebelum ini walaupun tekanan airnya agak rendah namun sekolah ini masih mendapat bekalan dan ini memungkinkan usaha untuk menyimpan stok air dalam tangki simpanan dapat dilakukan bagi keperluan pelajar dan guru di sekolah ini.

Sambil melahirkan harapan supaya pihak yang bertanggugjawab terhadap masalah ini mengambil tindakan konkrit untuk mengatasi masalah ini, Rahman berharap tindakan segara perlu dilakukan oleh pihak berkenaan supaya masalah ini tidak menjejaskan pembelajaran pelajar di sekolah ini. Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Beaufort, Ahmad Said, ketika ditemui berkata, pihak Jabatan Air perlu memberikan keutamaan yang lebih dari segi agihan air ke kawasan Menumbok dan persekitaranya supaya stok penyimpanan air yang membekalkan air di kawasan ini tidak terputus langsung.

“Apabila sistem agihan ini diberikan masa yang lebih ke kawasan Menumbok stok penyimpanan air yang memberikan bekalan air ke Menumbok tidak akan terputus dan ini membolehkan pengguna terlibat di kawasan ini dapat menyimpan stok bekalan air daripada ianya terputus langsung,” katanya. Ahmad yang juga Pengerusi JKKK Kampung Darat mahukan pihak terlibat termasuk Wakil Rakyat di kawasan ini turut padang bagi memantau masalah ini sesuai dengan konsep kerajaan yang mengutamakan kepentingan rakyat.

Tuesday, April 14, 2009

"TIBA MASA ORANG MUDA MENJADI PENENTU"


Selamat Berjuang Ahmad Shabery, Terima Kasih Ismail & Azalina.

Ramai yang mengalu-alukan tetapi tidak teruja dengan perlantikan Datuk Ahmad Shabery Cheek sebagai Menteri Belia & Sukan Malaysia. Dalam banyak kolumnis sukan mahupun ruangan siber orang muda, masih lagi ada kedengaran nada 'masih tidak percaya' dengan kebolehan Datuk Ahmad Shabery Cheek untuk mewakili mereka.
Bagi saya, itu satu sikap yang pesimis dan mungkin juga prejudis kepada YB Menteri. Beliau belumpun membuka langkah silatnya, ada sudah yang berkata sumbang. Inilah orang kita. Suka menilai dari aspek yang tidak sepatutnya. Mungkin juga ramai yang membandingkan prestasi YB Menteri semasa menyandang jawatan Menteri Penerangan dahulu.

Hari ini kepada sesiapa yang dilantik mengetuai Kementerian Belia & Sukan pasti pening kepala. Jika dahulu kementerian ini dianggap kementerian 'honeymoon', 'santai' dan 'sindrom relaxlah, bukan banyak keja pun', hari ni segalanya berubah. Awal-awal lagi YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak 'mencabar' orang muda untuk sama-sama kerajaan membangunkan negara ini. Namun ramai yang terfikir, bagaimana menarik golongan ini sedangkan golongan muda inilah penyebab utama kekalahan memalukan BN dalam Pilihanraya Umum Ke 12 lepas mahupun 5 Pilihanraya Kecil sebelum ini. BN dibelasah 1-4 dalam 5 Pilihanraya Kecil lepas. Jika dalam bola sepak, angka itu menunjukkan bahawa pasukan yang kalah itu memang teruk!. Kementerian Belia & Sukan sudah pasti harapan kerajaan untuk menarik kembali sokongan golongan muda. Alahai KBS!.

Hari ini Datuk Ahmad Shabery perlu fokus untuk menarik orang muda supaya yakin dengan kerajaan. Bukan sekadar menyediakan program untuk pembangunan modal insan, sahsiah, keseronokan berfaedah dan 'adventure' semata-mata. Banyak yang perlu dilakukan. YB Menteri juga kena fikirkan kenapa saluran 4,5 dan 6 (jika betul) dalam pilihanraya yang merupakan saluran golongan belia sentiasa memihak kepada parti pembangkang sejak tahun lepas dan walaupun setahun sudah berlalu, hal itu ternyata masih tidak berubah.

Untuk rekod, YB Menteri Belia & Sukan sejak zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi menterinya, sentiasa sahaja mengalami perubahan dasar dan strategi. Jika Tan Sri Muhyiddin lebih cenderung kepada Sukan, Datuk Seri Hishamudin Tun Hussein pula fokus kepada Belia. Semasa Datuk Seri Azalina Othman Said, golongan Rakan Muda dan sukan mendapat manfaat yang besar. Manakala Datuk Ismail Sabri Yakob pula terarah kepada pembangunan Belia. Diharapkan Datuk Ahmad Shabery mempunyai satu formula yang mantap untuk kembali mengambil hati dan perhatian golongan muda ini.

Dicadangkan YB Menteri dapat memantapkan lagi pembangunan Rakan Muda ini untuk terus menggalakan orang muda menyertai program-program bersifat kesedaran seterusnya membantu kepercayaan orang muda kepada dasar-dasar kerajaan. Jika perlu, kementerian harus menubuhkan Institut Pemikiran Rakan Muda untuk membuat kajian dan penyelidikan mengenai keperluan orang muda masa kini. Orang muda masa kini lebih berminat dan cenderung kepada mana-mana parti yang mempunyai ramai orang muda kerana alasannya mudah, hanya orang muda tahu apa yang orang muda mahukan. Budaya 'siapa dulu makan garam' ataupun 'orang muda harus memahami orang tua' sudah berlalu sebenarnya. Inilah yang patut BN khususnya UMNO fikirkan bermula daripada sekarang.

Sebagai contoh, selama ini satu kawasan Parlimen ataupun DUN dipimpin oleh seorang YB BN yang mencecah 20 tahun lamanya namun pembangunan fizikal, perniagaan dan pendidikan cukup lembab. Ini membuatkan orang muda meluat dan menyampah untuk terus mengekalkan YB tersebut. Ungkapan 'Dah lah tua, tak tahu buat keja', 'Jd YB sekadar mau kumpul harta', 'YB tahu cakap pasal jambatan dan jalanaraya saja', 'Sudah2lah jadi YB, bagi peluang orang baru' adalah antara ungkapan paling famous dikalangan orang muda masa kini. YB khususnya dari BN sudah tidak dipandang lagi gara-gara kegagalan menjaga hati dan kemahuan orang muda ini. Jadi kepada YB-YB yang dah rasa lain macam tu, bersedialah berundur secara terhormat atau ditunjuk jalan keluar pada pilihanraya akan datang.

Orang muda sebenarnya tidak berubah. Tetapi mereka sekadar memberitahu dan menggunakan hak yang ada supaya kerajaan tidak mengabaikan mereka. Jika dahulu golongan ini dipandang sekadar budak hingusan, sekarang kerana hingus budak hingusan ini lah membuat YB-YB terngadah dari tidurnya yang lena. Kepada Datuk Ahmad Shabery Cheek, selamat menjalankan tugas dan semoga berjaya. Sekian dan wassalam.